What would you like to search for?

Our News

Surat Kepada Pengarang: Menjamin Masa Depan Kita: Laluan Sifar Bersih untuk Malaysia

18 Disember 2021, Petaling Jaya: Laporan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) pada 2018 menyatakan bahawa manusia sejagat akan mengalami kesan perubahan iklim yang mudarat jika suhu bumi melebihi 1.5 darjah celsius (°C)  dari tahap pra-industri. Bagi mengelak situasi ini, kenaikan suhu global dunia harus diperlambatkan. 

Salah satu cara ini boleh dilakukan adalah dengan menurunkan pelepasan karbon dunia sebanyak 45% daripada tahap tahun 2010. Lebih-lebih lagi, laporan IPCC tahun ini menekankan keperluan langkah segera dan berskala besar untuk mengurangkan pelepasan karbon. Jika kita gagal mengambil tindakan sekarang, ia mungkin berada di luar jangkauan kita untuk mengehadkan pemanasan global pada 1.5°C.

Tidak dapat dinafikan bahawa peralihan iklim (climate transition) adalah sesuatu yang imperatif untuk iklim dunia dan ekonomi. Sebagai contoh, pihak seperti institusi perbankan, insuran dan pelaburan, serta syarikat dan juga pengguna, telah pun mula mengguna pakai elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam membuat keputusan. 

Peningkatan dalam penggunaan ESG akan membawa implikasi yang meluas, seperti peralihan iklim dan penerapan ekonomi hijau. Oleh itu, negara, sektor dan syarikat haruslah segara menyesuaikan diri dengan konsep ESG dan perubahan iklim untuk menjamin kelangsungan mereka. Sekiranya dunia terus beroperasi seperti biasa, kerugian kumulatif dari tahun 2011 sehingga 2050 akan mencecah USD10 trilion dan ini sangat membimbangkan.
 
Namun demikian, terdapat perkembangan positif dari negara-negara yang menyumbang kepada lebih daripada 90%  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global. Didorong oleh keadaan perubahan iklim dan sosioekonomi dunia, negara-negara seperti China, Singapura, Amerika Syarikat dan Eropah telah pun menetapkan sasaran Sifar Bersih mereka tersendiri. Malaysia, sebagai satu negara perdagangan utama, akan terkesan jika tidak mengambil langkah yang sama. Tambahan lagi, negara-negara ini adalah rakan dagangan utama Malaysia.  

Di samping itu, cukai sempadan karbon yang akan diperkenalkan di Eropah pasti akan diterima pakai oleh negara-negara lain. Jika Malaysia tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk mengurangkan pelepasan karbon, cukai ini akan menjejaskan daya saing produk Malaysia. Lebih-lebih lagi,  20-30% daripada ekonomi Malaysia pada masa ini tertumpu kepada sektor yang menghadapi risiko besar peralihan iklim.

Untuk makluman, inventori pelepasan gas rumah hijau (GHG) dari Malaysia pada tahun 2016 merekodkan jumlah pelepasan GHG sebanyak 334 MTCO2e (Ton Metrik bersamaan karbon dioksida). Daripada jumlah ini, 75% dihasilkan oleh sektor tenaga dan pengangkutan. Selebihnya pula dihasilkan oleh proses pertanian, pembuangan sisa, perindustrian dan perubahan penggunaan tanah. 

Walau bagaimanapun, lebih daripada 75% pelepasan GHG ini diserap oleh hutan-hutan di Malaysia, yang merangkumi 50% daripada jumlah keluasan tanah negara. Ini memberi Malaysia kelebihan semula jadi yang unik, dan meletakkan negara kita dalam posisi yang baik untuk mencapai sasaran Sifar Bersih. Perlu dinyatakan bahawa sehingga tahun 2004, Malaysia sebenarnya menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan.

Disebabkan kadar pelepasan karbon yang tinggi dari sektor tenaga dan pengangkutan, Malaysia perlu mengambil tindakan ke arah penyingkiran karbon atau penyahkarbonan. Ini melibatkan tindakan seperti menghentikan penjanaan tenaga elektrik daripada arang batu menjelang 2050, dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Kita juga perlu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian.

Negara kita mempunyai kelebihan semula jadi dan berpotensi memanfaatkan pelbagai teknologi penyahkarbonan. Selain itu, kita juga memiliki pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui seperti suria, bioenergi dan kuasa hidro lestari. Penghasilan tenaga elektrik tanpa karbon dan pengangkutan rendah karbon membawa kebaikan kepada sektor perindustrian kita. Seperkara lagi, penggunaan sumber tenaga tanpa karbon oleh kluster industri elektrik dan elektronik serta kluster automotif, akan meletakkan Malaysia dalam posisi kukuh untuk meningkatkan nilai tempatan dari segi sektor perindustrian dan perkhidmatan lain.

WWF-Malaysia dan Boston Consulting Group (BCG) telah bekerjasama untuk menghasilkan laporan yang menilai beberapa laluan ke arah sasaran Sifar Bersih 2050. Dari sudut teknikal, sasaran ini boleh dicapai dengan teknologi yang diterima pakai di peringkat antarabangsa, namun bersesuaian dengan konteks khusus di Malaysia. Dari sudut sosio ekonomi pula, laluan Sifar Bersih mampu mencipta sebanyak 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baru dan menyumbang secara akumulatif RM50-60 bilion kepada KDNK tahunan. Pada masa yang sama, kos purata pelaburan yang diperlukan adalah kurang daripada 1% KDNK Malaysia bagi tempoh 30 tahun.

Tindakan segera terhadap penyesuaian dan ketahanan iklim sangat diperlukan bagi melindungi kehidupan, ekonomi dan mata pencarian pendapatan daripada terjejas akibat perubahan iklim. Lanjutan daripada itu, ia juga akan melengkapkan usaha mitigasi negara menuju Sifar Bersih 2050. Masa untuk bertindak semakin suntuk. Tiba masanya untuk kita lakukan sesuatu. 

Dr Henry Chan
Pengarah Konservasi
WWF-Malaysia


-Tamat-

Share This!

Help us spread the message