The WWF is run at a local level by the following offices...
- WWF Global
- Adria
- Argentina
- Armenia
- AsiaPacific
- Australia
- Austria
- Azerbaijan
- Belgium
- Bhutan
- Bolivia
- Borneo
- Brazil
- Bulgaria
- Cambodia
- Cameroon
- Canada
- Caucasus
- Central African Republic
- Central America
- Central Asia
- Chile
- China
- Colombia
- Croatia
- Democratic Republic of the Congo
- Denmark
- Ecuador
- European Policy Office
- Finland
Our News
WWF-Malaysia Anjur Bengkel Hargai Kelip-kelip di Tanah Bencah Setiu
4 Februari 2016, Kuala Terengganu: Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) baru-baru ini menganjurkan bengkel dan seminar yang bertajuk “Pemuliharaan dan Ekopelancongan Kelip-Kelip di Tanah Bencah Setiu – Ke Arah Kehidupan Lestari”. Bengkel dan seminar ini diadakan selama dua hari dan mengalakkan penyertaan orang awam dalam program penerokaan sains dan pemuliharaan alam sekitar dengan cara yang lebih komprehensif.
Kelip-kelip merupakan salah satu serangga yang menjadi penanda aras keunikan sesebuah ekosistem terutamanya di hutan paya laut. Dari pengamatan ekologi, kehadiran kelip-kelip di sesuatu kawasan menunjukkan ekosistem berfungsi dengan baik kerana kitar hidup kelip-kelip adalah bersifat kompleks dan setiap peringkat kitaran bergantung kepada habitat serta keperluan yang berbeza. Walau bagaimana pun, sama seperti spesies ikonik yang lain, kelip-kelip turut diancam kepupusan. Hutan paya laut - habitat yang didiami kelip-kelip sering dimusnahkan dek pembangunan dan pelancongan tidak lestari.
Bengkel dan seminar ini diadakan bertujuan memperkenal dan mempromosikan Tanah Bencah Setiu yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi sebagai tarikan semulajadi yang berpotensi dijadikan kawasan rekreasi dan eko-pelancongan. Sejajar dengan itu, bengkel menghargai kelip-kelip ini juga diadakan bersempena sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia 2016 yang disambut pada 2 Februari setiap tahun. Pada tahun ini, tema “Tanah Bencah untuk Masa Depan Kita: Kehidupan Lestari” (Wetlands for our Future: Sustainable Livelihoods) dipilih sebagai satu pendekatan untuk menonjolkan peranan penting tanah bencah kepada manusia untuk masa kini dan pada masa akan datang. Tema ini juga dipilih sebagai satu langkah mempromosikan penggunaan sumber tanah bencah dengan bijak.
Semasa bengkel pada hari pertama program, para peserta diberi pendedahan mengenai fakta penting tentang kelip-kelip dan mempelajari cara untuk mengecam spesies berdasarkan kerlipan cahaya yang dihasilkan oleh kelip-kelip. Peserta juga didedahkan kepada cara-cara untuk memantau populasi dan habitat kelip-kelip di Sungai Setiu menggunakan teknik penilaian pantas sebagai satu usaha untuk menggalakkan penglibatan orang awam dalam sains (Citizen Science Programme). Pada hari berikutnya, pengenalan kepada usaha-usaha pemuliharaan Tanah Bencah Setiu dan kajian kelip-kelip di Malaysia serta status taburan spesies kelip-kelip di Tanah Bencah Setiu telah dibentangkan oleh WWF-Malaysia. Pada seminar yang sama, isu kemerosotan populasi kelip-kelip di Sungai Yakyah, Kemaman yang dibangkitkan oleh pemandu pelancong berpengalaman, turut dibincangkan. Ini disusuli dengan perkongsian pengalaman oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor mengenai penubuhan dan cabaran pengurusan ekopelancongan kelip-kelip di Kampung Kuantan, Selangor. Justeru itu, bertepatan dengan cadangan Kerajaan Negeri Terengganu untuk membangunkan industri pelancongan kelip-kelip sejurus pewartaan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri Terengganu, pihak WWF-Malaysia mengambil inisitiaf ini untuk mendidik dan melatih orang awam yang berkepentingan dalam pembangunan dan pelancongan di Tanah Bencah Setiu untuk menjadi warga yang berilmu dan mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi demi kehidupan lestari.Yg Bhg Dato’ Dr Dionysius Sharma, Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Alam Malaysia menjelaskan, “Program ini adalah inisiatif oleh WWF-Malaysia untuk memberi kesedaran dan pendidikan mengenai kepentingan kelip-kelip sebagai pengukur aras tahap kesihatan ekosistem bakau selain dapat meningkatkan potensi ekopelancongan di Tanah Bencah Setiu. Malahan, program-program sebegini wajar diadakan dengan lebih kerap dan lebih meluas agar dapat meningkatkan tahap kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti pemuliharaan di Tanah Bencah Setiu”.
Beliau selanjutnya menegaskan, “Sebelum menjalankan aktiviti ekopelancongan di Tanah Bencah Setiu, perancangan pembangunan perlu mengambilkira aspek kelestarian ekosistem termasuk menitikberatkan keperluan setiap peringkat hidup kelip-kelip. Justeru itu, untuk melindungi kelip-kelip kita perlu lindungi seluruh ekosistem Tanah Bencah Setiu”.
Ujar Tuan Hj Zainal Abidin bin Hussin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu dalam ucapan perasmian Bengkel dan Seminar tersebut, “Sejajar dengan perancangan dan usaha Kerajaan Negeri melalui agenda pembangunan pelancongan di Setiu serta pewartaan Taman Negeri Tanah Bencah Setiu, pemilihan kelip-kelip sebagai ikon bagi Tanah Bencah Setiu adalah tepat”. Tambah beliau lagi, “Sasaran Kerajaan Negeri adalah kepada aktiviti ekopelancongan lestari yang mengetengahkan produk ekopelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampu menyumbang hasil ekonomi kepada negeri Terengganu”.
Seramai 43 orang peserta menghadiri program ini yang terdiri daripada wakil-wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi pelancongan, persatuan-persatuan komuniti setempat, ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar universiti serta guru-guru dari sekolah-sekolah terpilih di Daerah Setiu. . Melalui penglibatan pelbagai pihak dalam program ini diharapkan dapat membantu masyarakat untuk menghargai warisan yang ada di Setiu untuk generasi akan datang, seterusnya memastikan Tanah Bencah Setiu terus dilindungi.
Menurut Cik Zanariah Zakaria, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu yang menghadiri bengkel dan seminar ini, “Program seumpama ini merupakan wadah yang baik untuk menarik minat dan perhatian pihak berwajib dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan melindungi Tanah Bencah Setiu yang kaya dengan sumber alam”.
Seorang lagi peserta, En Baizul Hafsyam Badli Sham iaitu pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata “Manfaat yang beliau perolehi adalah dari segi pengetahuan yang lebih mendalam perihal kelip-kelip selain pengalaman pengecaman jenis kelip-kelip di lapangan”. Tambah beliau lagi, “Perkongsian pengalaman dari pelancongan kelip-kelip di Kg. Kuantan di Kuala Selangor mengenai realiti usaha pemuliharaan kelip-kelip amat berguna untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan program yang sama di Tanah Bencah Setiu”.
Turut memberi pandangan dan maklumbalas ialah Puan Rohani binti Embong yang bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kuala Setiu. Beliau berpendapat program seperti ini wajar diadakan lebih kerap dengan melibatkan pelajar-pelajar sekolah agar dapat mendedahkan mereka kepada ekosistem dan aktiviti-aktiviti pemuliharaan di Tanah Bencah Setiu.
Manakala Dr Zaleha Mohamad, pensyarah dari UMT dan merupakan seorang lagi peserta bengkel dan seminar berkata “Salah satu potensi kerjasama untuk penglibatan pelajar-pelajar universiti dalam usaha pemuliharaan di Tanah Bencah Setiu ialah sebagai sukarelawan”.
Puan Wan Noorwatie Wan Ibrahim, pensyarah dari Universiti Kolej Bestari, Setiu yang meyertai bengkel dan seminar ini pula berkata “Pendedahan mengenai kelip-kelip dan Tanah Bencah Setiu kepada peserta-peserta yang kebanyakannya berasal dari kawasan Setiu dapat memupuk perasaan termilik di kalangan mereka. Dengan itu, wujud kesungguhan lebih mendalam pihak masyarakat untuk memulihara alam semulajadi di kawasan mereka dan pada masa yang sama memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan daripada sumber-sumber alam”.
Mengenai Tanah Bencah Setiu
Tanah Bencah yang terletak di Daerah Setiu, Terengganu mempunyai ekosistem semula jadi yang merangkumi air tawar, air payau dan air laut dengan pelbagai habitat yang unik seperti hutan gelam, hutan bakau dan laguna sepanjang 14km yang mengunjur selari dengan pesisir pantai. Populasi tuntung laut (Batagur borneoensis) yang sangat terancam serta tuntung sungai (Batagur baska) wujud di Tanah Bencah ini manakala penyu (Chelonia mydas) agar mendarat dan bertelur di pesisir pantai berpasir di kawasan ini. Beberapa kajian yang telah dijalankan di Tanah Bencah Setiu merekodkan sejumlah 29 spesies mamalia, 112 spesies burung dan 28 spesies reptilia. Selain kepelbagaian biologinya yang kaya dan unik, Tanah Bencah Setiu juga menyumbangkan pelbagai sumber semulajadi yang memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat melaluli aktiviti perikanan, pembuatan bot, penghasilan produk kraftangan dan pemprosesan makanan berasaskan ikan (seperti keropok, budu, dan ikan bilis).
- Tamat -
Untuk maklumat, sila hubungi:
Syafieqa Satria, Pegawai Komunikasi Air Tawar, WWF-Malaysia
Tel: +603-74503773 Email: ssatria@wwf.org.my
Rumaizah Mohammad Abu Bakar, Ketua Bahagian Komunikasi, WWF-Malaysia
Tel: +603-74503773 Email: rbakar@wwf.org.my