What would you like to search for?

DASAR PEMBERIAN MAKLUMAT DAN ADUAN

Kami mahu melakukan perkara yang betul.
 
Di WWF-Malaysia, manusia merupakan teras segala usaha kami. Saling hormat-menghormati dan memastikan keselamatan serta hak pekerja, rakan kongsi, dan komuniti yang kami bekerjasama merupakan asas organisasi kami. WWF-Malaysia adalah komited kepada budaya "Speak Up" yang membolehkan seseorang menyuarakan kebimbangan terhadap sebarang kelakuan yang tidak sesuai atau membuat aduan berkaitan projek tanpa perlu berasa takut.

Kelakuan yang tidak sesuai

Kelakuan yang tidak sesuai, atau salah laku, termasuk pelbagai tindakan atau tingkah laku peribadi di tempat kerja atau semasa menjalankan tugas oleh kakitangan WWF-Malaysia, rakan kongsi dan pihak yang berkaitan dengan WWF-Malaysia. Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada: diskriminasi, gangguan, gangguan seksual, buli, ugutan, serangan fizikal atau lisan, penderaan kanak-kanak, penyalahgunaan kuasa, mencuri, menipu, rasuah atau suapan, pencerobohan privasi data peribadi dan kerahsiaan, atau pelanggaran dasar dalaman lain yang boleh mendatangkan risiko undang-undang, kewangan atau reputasi kepada WWF-Malaysia, termasuk kelalaian atau ketiadaan tindakan oleh pengurusan yang menggalakkan tindakan sedemikian.

Aduan berkaitan projek

Aduan berkaitan projek merujuk kepada sebarang kesan negatif ke atas individu atau kumpulan dalam komuniti disebabkan kegagalan WWF-Malaysia atau rakan kongsinya untuk mematuhi Kenyataan Prinsip-Prinsip dan Rangka Kerja Perlindungan Sosial dan Alam Sekitar dalam merekabentuk atau melaksanakan aktiviti projek WWF-Malaysia. Ini termasuk isu berkaitan dengan hak asasi manusia, hak Orang Asal, kesaksamaan dan perwakilan jantina, kesejahteraan ekonomi dan kehidupan komuniti. Mekanisme Penyelesaian Aduan (CRM) WWF-Malaysia adalah saluran formal untuk menerima dan menangani aduan atau kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan akibat tindakan atau kelalaian WWF-Malaysia.

Mengemukakan aduan

Untuk memudahkan penilaian dan penyiasatan ke atas kebimbangan yang dibangkitkan, aduan harus mengandungi maklumat penting sebanyak yang mungkin. Sebaiknya, aduan juga harus mengandungi butiran pengadu (sekiranya maklumat tambahan diperlukan).
 
Pengadu digalakkan untuk menghubungi kakitangan atasan tempatan secara langsung. Walau bagaimanapun, sekiranya perlu berkomunikasi mengenai perkara ini secara sulit, WWF-Malaysia menyediakan pelbagai saluran seperti berikut:

1. Jika aduan anda berkaitan dengan pengumpulan dana, sila hantar e-mel ke kawan@wwf.org.my

2. Untuk isu berkaitan kelakuan yang tidak sesuai, sila hubungi Jabatan Sumber Manusia WWF-Malaysia dengan mengisi borang ini

3. Sekiranya isu tersebut berkaitan dengan Jabatan Sumber Manusia atau pasukan Pengurusan Atas, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif/CEO dan Sumber Manusia, anda boleh mengemukakan kebimbangan anda dengan mengisi borang ini. Borang ini akan disemak oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit kami.
  

4. Untuk isu berkaitan dengan projek WWF-Malaysia, anda boleh menghubungi Pegawai Pengendali Aduan melalui:

  • Emel: my.projectcomplaint@wwf.org.my
  • Menghubungi pejabat WWF-Malaysia di +603 7450 3773
  • Menghantar surat kepada WWF-Malaysia di alamat, 1 Jalan PJS 5/28A, Pusat Komersial Petaling Jaya, Petaling Jaya, 46150 Selangor, Malaysia
 
5. Jika anda lebih suka menyalurkan kebimbangan anda terus kepada WWF Antarabangsa, sila layari: report.whistleb.com/en/wwf

Tanggungjawab menjaga

WWF-Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pengadu daripada sebarang penyalahgunaan yang lebih lanjut, termasuk menyediakan "responden pertama" yang terlatih dengan segera yang boleh memberikan penjagaan dan sokongan yang diperlukan kepada mangsa.
 
WWF-Malaysia juga mempunyai tanggungjawab kepada pemberi maklumat- daripada tindakan balas negatif atau memudaratkan (lihat di bawah) - serta kepada pihak tertuduh, yang mempunyai hak kepada siasatan yang tidak berat sebelah, kerahsiaan maklumat, dan perlakuan yang adil.
 
Oleh itu, WWF-Malaysia menasihatkan dan menggalakkan pengadu untuk melaporkan sebarang kelakuan yang tidak sesuai oleh kakitangan WWF-Malaysia, rakan kongsi atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan kerja WWF-Malaysia, kepada WWF-Malaysia terlebih dahulu supaya WWF-Malaysia boleh membaiki kesalahan dan mengambil tindakan pengawalan yang sewajarnya.

Tiada tindakan balas

WWF-Malaysia menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan balas terhadap sesiapa yang melaporkan kebimbangan mengenai salah laku dengan niat yang baik. Mana-mana kakitangan yang terlibat dalam tindakan balas - sama ada terhadap pengadu atau pemberi maklumat tentang salah laku yang didakwa, akan dikenakan tindakan disiplin hingga dan termasuk penamatan pekerjaan.
 
Sesiapa yang dikenakan tindakan balas harus segera melaporkannya melalui saluran yang sedia ada. Laporan tindakan balas akan disiasat dengan cara yang bertujuan untuk melindungi kerahsiaan sebanyak mungkin, selaras dengan siasatan penuh dan adil.