What would you like to search for?

Our News

Langkah Pemuliharaan Lebih Giat Diperlukan untuk Spesies Tuntung Laut yang Hampir Pupus -WWF-Malaysia

28 Feb 2014, Setiu: Penurunan pendaratan tuntung laut (Batagur borneoensis) yang ketara dalam tempoh 5 tahun yang lepas di Setiu menunjukkan bahawa langkah-langkah pemuliharaan yang lebih efektif perlu digiatkan bagi memastikan kelangsungan populasi spesies Sangat Terancam ini.

28 Feb 2014, Setiu: Penurunan pendaratan tuntung laut (Batagur borneoensis) yang ketara dalam tempoh 5 tahun yang lepas di Setiu menunjukkan bahawa langkah-langkah pemuliharaan yang lebih efektif perlu digiatkan bagi memastikan kelangsungan populasi spesies Sangat Terancam ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia (Tabung Alam Malaysia), Dato’ Dr Dionysius Sharma, sebanyak 69 sarang tuntung laut telah dieramkan pada tahun lepas di kawasan Setiu berbanding 114 sarang pada tahun 2009.

“Tuntung laut sedang menghadapi ancaman kepupusan yang sangat kritikal dan hal ini perlu ditangani secara serius. Amalan pemakanan telur tuntung yang masih lagi berleluasa, kemusnahan habitat akibat pembangunan kawasan tebing sungai dan pantai yang tidak terancang serta terperangkap di dalam pukat nelayan terus menjadi ancaman terhadap spesies ini,” kata Dr Sharma.

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah mula dikuatkuasakan pada 28 Disember 2010 dan di bawah Akta tersebut, tuntung laut merupakan Hidupan Liar Yang Diperlindungi Sepenuhnya. Denda sehingga RM500,000 dan penjara mandatori sehingga 5 tahun boleh disabitkan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan memiliki, mengurung , mengambil telur atau apa-apa aktiviti berkaitan haiwan ini tanpa Lesen Khas daripada pihak Berkuasa.

Pindaan kepada Akta tersebut meletakkan semua aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan spesies ini di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN). Sebelum ini, bidang kuasa bagi tuntung laut adalah di bawah Jabatan Perikanan.

“Tuntung laut merupakan spesies yang unik di mana mereka mendiami muara dan bahagian pasang surut sungai serta kawasan tanah bencah dan anak-anak sungai. Selain itu, mereka juga berpindah semasa musim mengawan dan tuntung laut betina akan bertelur di kawasan pantai yang turut dikunjungi oleh penyu,” kata Dr Sharma.

Tambah beliau, “Oleh itu, pemuliharaan tuntung laut harus dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasi komuniti tempatan.”

Sementara itu, peningkatan bilangan telur penyu agar yang dieramkan di Setiu adalah hasil daripada pemantauan yang semakin baik yang dijalankan melalui kerjasama Jabatan Perikanan dan WWF-Malaysia. Bilangan sarang Penyu Agar yang dieramkan di pusat penetasan telah meningkat sebanyak 64% tahun lepas berbanding pada 2012.

Sebuah pusat penetasan baru (hatceri) telah dirasmikan hari ini di kawasan belakang Penarik Inn, Setiu bersempena dengan Program ‘Gotong-Royong V42T – Volunteer for Turtles & Terrapins’ yang dianjurkan oleh WWF-Malaysia dengan kerjasama Majlis Daerah Setiu, Kelab Marina UMT, Persatuan Wanita Kampung Mangkok Setiu, Penarik Inn dan DJungle Group. Hatceri yang berukuran 70 kaki x 20 kaki ini dapat menempatkan 200-300 sarang pada satu masa. Pembinaan semula hatceri tersebut dilakukan setiap awal musim bertelur kerana ia diruntuhkan sebelum musim tengkujuh supaya tidak rosak akibat angin dan ombak kuat ketika musim tengkujuh.

Kawasan pantai sekitar hatceri itu juga telah dibersihkan daripada sampah-sarap dan halangan seperti batang pokok yang tumbang untuk memberi laluan kepada tuntung laut dan penyu untuk mendarat dan bertelur. Program ‘Gotong-Royong v42T’ bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang usaha-usaha konservasi penyu dan tuntung laut di Setiu, memberi penerangan berkaitan proses-proses serta prosedur pengeraman telur penyu dan tuntung laut di hatceri serta menggalakan penglibatan masyarakat tempatan dalam usaha-usaha pemuliharaan penyu dan tuntung laut di Setiu.

Kawasan laguna dan tanah bencah Setiu menyokong populasi tuntung laut yang antara terbesar dan terakhir di dunia.. Di bawah Senarai Merah International Union for Conservation of Nature (IUCN) 2013, tuntung laut diletakkan dalam kategori yang Sangat Terancam manakala penyu agar (Chelonia mydas) pula diletakkan dalam kategori Terancam.

- Tamat -

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Nadiah Rosli, Pegawai Komunikasi Program Marin Semenanjung Malaysia
Tel: +603-78033772 ext 6433, Emel: nrosli@wwf.org.my

Yeoh Lin Lin, Ketua Komunikasi, WWF-Malaysia
Tel: +603-78033772, Emel: llyeoh@wwf.org.my

Share This!

Help us spread the message