Apa yang anda ingin cari?

Tempat Kami Bekerja
© WWF-Malaysia/LauChingFong/WWF-Malaysua

Kerja pemuliharaan harimau WWF-Malaysia memfokuskan kepada Kompleks Hutan Belum-Temengor, di Utara Perak. landskap ini adalah salah satu daripada tiga tapak keutamaan untuk harimau di Malaysia, seperti yang dikenalpasti dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan pada tahun 2008.

Selain menjadi tapak penting untuk harimau, Belum-Temengor adalah habitat bagi mamalia besar yang ikonik seperti rusa sambar, gajah dan gaur. Ia juga merupakan syurga peminat burung dan merupakan salah satu daripada hanya dua tapak di Malaysia yang memiliki kesemua sepuluh spesies burung enggang yang telah direkodkan. Belum-Temengor merangkumi kawasan seluas sekitar 3,400 kilometer persegi, dan merupakan kawasan utama bagi landskap hutan bersambung kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.

Belum-Temengor terdiri daripada dua kawasan pengurusan utama iaitu Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor. Dengan keluasan 1,175 kilometer persegi, Taman Negeri Royal Belum adalah kawasan perlindungan kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, manakala Hutan Simpan Temengor pula berkeluasan 1,489 kilometer persegi dan merupakan hutan simpan kedua terbesar di Malaysia. Hanya masyarakat asli tinggal dalam kompleks hutan ini, dengan populasi sekitar 6,000 orang penduduk kampung di seluruh landskap.