Apa yang anda ingin cari?

PENYELIDIKAN KAMI
© WWF-Malaysia/Sharon Koh

Kaedah utama yang digunakan WWF-Malaysia untuk menjalankan tinjauan saintifik adalah perangkap kamera. Secara asasnya, ia merupakan kamera pengesan haba automatik yang mengambil gambar apa sahaja yang memancarkan haba yang melintas di hadapannya.

Oleh kerana corak jalur setiap harimau adalah unik, gambar-gambar dari perangkap kamera ini boleh digunakan untuk mengenal pasti harimau individu. Seterusnya, jumlah harimau dianggarkan melalui rangka kerja statistik yang kukuh. Data ini berfungsi sebagai maklumat asas yang kami gunakan untuk mengukur keberkesanan intervensi pemuliharaan yang kami dijalankan apabila pemantauan semula dilakukan.

Penyelidikan kami juga boleh digunakan untuk memahami respons harimau dan mangsanya terhadap gangguan yang disebabkan oleh manusia, dan untuk mengenal pasti kawasan hutan penting yang perlu dilindungi. Sebagai contoh, penyelidikan kami di koridor sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli yang memisahkan Belum Temengor pada tahun 2011 menunjukkan beberapa kawasan hutan amat kerap digunakan oleh harimau dan mangsanya berbanding kawasan lain. Oleh itu, kawasan-kawasan ini memerlukan perlindungan yang amat kritikal.

Ini membantu menekankan kepentingan memelihara kawasan ini kepada kerajaan negeri, yang telah mengisytiharkan hutan tanah negeri ini sebagai Hutan Simpan Amanjaya pada tahun 2013.