Apa yang anda ingin cari?

STATUS HARIMAU MALAYA
© WWF-Malaysia/ Shariff Mohamad

Harimau Malaya adalah simbol kebangsaan dan sasaran pemuliharaan keutamaan bagi WWF-Malaysia. Pada tahun 1950-an, Malaysia dianggarkan mempunyai sebanyak 3,000 ekor harimau. Walau bagaimanapun, kehilangan habitat akibat pembangunan pesat, pengembangan pertanian dan pemburuan secara meluas telah menyebabkan populasi menurun kepada kurang daripada 150 individu pada tahun 2022.

Dari tahun 2016 hingga 2020, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara, WWF-Malaysia dan NGO lain memulakan Tinjauan Harimau Nasional yang pertama di Malaysia untuk menentukan status harimau yang paling terkini dan tepat di seluruh negara. Keputusan awal tinjauan ini menunjukkan bahawa bilangan harimau telah menurun lebih jauh kepada kurang daripada 150 individu di kawasan liar. Harimau Malaya berstatus Dilindungi Sepenuhnya dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, dan dikelaskan sebagai Sangat Terancam dalam Senarai Merah IUCN untuk Spesies Terancam.