Apa yang anda ingin cari?

MENYELAMATKAN HARIMAU KITA
© WWF-Malaysia/Fong

Untuk menyelamatkan harimau, kita perlu melindungi haiwan ini daripada pemburuan haram, dan habitatnya perlu dilindungi dan dihubungkan agar populasi yang berdaya maju dapat dipelihara dalam jangka masa panjang. Negara-negara Asia Tenggara, termasuk lah Malaysia, berada pada risiko tinggi disebabkan oleh ekonomi yang sedang membangun dan kemunculan sindiket pemburuan haram Indochina yang meluas.

Dengan komitmen pihak kerajaan, negara Nepal dan India telah berjaya meningkatkan bilangan harimau liar mereka. WWF-Malaysia telah mengesyorkan agar sebuah Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh peringkat tertinggi kerajaan. Kami juga telah meminta penubuhan sebuah Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Jabatan Polis Diraja Malaysia yang akan memberi bantuan yang besar dalam membendung jenayah hidupan liar. Adalah penting untuk kita memperuntukkan sumber yang mencukupi agar kita dapat menjalankan rondaan di habitat harimau dengan menggunakan bilangan renjer dan pada kekerapan yang dicadangkan, mengikut amalan antarabangsa. Penukaran dan pemecahan habitat harimau juga mesti diminimumkan.