Apa yang anda ingin cari?

PERANCANGAN UNTUK MENGELAK KONFLIK DALAM GUNATANAH
© Mazidi Abd Ghani/ WWF-Malaysia

Tahukah anda bahawa apa yang berlaku ratusan dan ribuan kilometer jauhnya dari kita boleh menjejaskan kualiti air paip kita? Efluen daripada air larian pertanian, ladang atau kilang, pembalakan di hulu sungai, sampah sarap dan kotoran yang tidak dirawat semuanya mencemarkan sungai dan menjejaskan kualiti air, ikan dan hidupan akuatik yang lain. Sejak kebelakangan ini, pemotongan air yang berpanjangan akibat pencemaran sungai telah menjejaskan berjuta-juta pengguna di Lembah Klang.

Inilah kepentingan perancangan penggunaan tanah yang mampan. Ia merupakan proses mengatur, mengurus dan mengawal selia penggunaan tanah serta sumbernya bagi memenuhi pembangunan sosio-ekonomi negara sambil melindungi alam sekitar. Perancangan penggunaan tanah digunakan untuk memenuhi keperluan orang ramai dengan cara yang paling cekap dan mampan, dengan mengambil kira kapasiti semula jadi tanah.

Perancangan penggunaan tanah adalah penting dalam pengurusan alam sekitar fizikal dan pemuliharaan biodiversiti. Kesan akibat penggunaan tanah yang tidak terancang sering di ketengahkan dalam media: pencemaran sungai akibat efluen daripada aktiviti pencemaran di hulu kawasan pengambilan air, konflik penggunaan tanah seperti penempatan projek perumahan bersebelahan dengan tapak pelupusan dan banyak lagi. Tanah adalah sumber yang terhad, dan apabila semakin banyak keperluan bersaing untuk tanah dan sumbernya, konflik sering timbul.

Oleh itu, mekanisme perancangan dan pengurusan penggunaan tanah yang merancang dan mengambil kira keperluan pelbagai sektor adalah penting untuk membantu mengurangkan konflik penggunaan tanah, memulihara ekosistem kritikal, melindungi dan mengurus habitat sensitif alam sekitar, memulihkan kawasan pemuliharaan yang terdegradasi, dan akhirnya, menjamin kehidupan yang sihat dan selamat untuk rakyat Malaysia.

WWF-Malaysia menggunakan perancangan penggunaan tanah untuk menyokong bidang kerja lain, terutamanya dalam melobi penubuhan dan pengurusan kawasan perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan kawasan tanah tinggi, perlindungan habitat spesies terancam, pemuliharaan dan pengurusan hutan, dan pemuliharaan ekosistem air tawar dan marin.

Kami berhasrat untuk mempromosikan dasar, perancangan dan pengurusan penggunaan tanah yang mampan dalam keseluruhan sistem tadbir urus tanah di Semenanjung Malaysia secara keseluruhan, dan perlindungan serta pengurusan kawasan sensitif alam sekitar di seluruh kawasan semenanjung.

WWF-Malaysia berharap untuk mencapai matlamat ini dengan menggunakan beberapa strategi, yang merangkumi:

  • Bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di peringkat negeri dan tempatan untuk mempromosikan perancangan penggunaan tanah yang mampan dan menyokong perlindungan Kawasan Sensitif Alam Sekitar seperti yang dikenal pasti dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan pelan penggunaan tanah lain.

  • Menyemak dokumen perancangan penggunaan tanah seperti Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah serta menyediakan cadangan untuk pembangunan penggunaan tanah yang mampan.

  • Mengkaji Penilaian Impak  Alam Sekitar dan memberi ulasan serta cadangan yang membina untuk langkah-langkah pengurangan yang kukuh bagi tujuan melindungi ekosistem dan habitat yang sensitif.

  • Mengambil bahagian dalam mesyuarat, dialog dan jawatankuasa teknikal untuk menggalakkan perancangan dan pelaksanaan penggunaan tanah yang mampan serta mempromosikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.