Apa yang anda ingin cari?

Our News

WWF-Malaysia dan CIMB Islamic Melancarkan Buku Mewah Permata Negeri Pahang: Fraser’s Hill, Mengukuhkan Komitmen kepada Pemuliharaan

18 Mei 2026, Bukit Fraser, Pahang – WWF-Malaysia dan CIMB Islamic hari ini melancarkan Buku Mewah Permata Negeri Pahang: Fraser’s Hill, menandakan pencapaian penting dalam kerjasama berterusan mereka untuk menyokong usaha pemuliharaan di Kompleks Hutan Bukit Fraser.

© Rahana Husin / WWF-Malaysia

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Leong Yu Man, EXCO Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang yang mewakili Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, menegaskan komitmen berterusan negeri ini untuk melindungi salah satu ekosistem tinggi tanah paling penting di Semenanjung Malaysia.

Meliputi lebih 76,000 hektar, Kompleks Hutan Fraser’s Hill merupakan landskap biodiversiti penting yang menyokong spesies endemik dan berfungsi sebagai takungan air utama bagi komuniti sekitar. Ia juga sebahagian daripada Tulang Belakang Hutan Tengah, rangkaian ekologi utama yang penting untuk mengekalkan sambungan alam sekitar merentasi Semenanjung Malaysia.

Buku mewah ini mengumpulkan hasil penyelidikan saintifik bertahun-tahun, termasuk dapatan daripada inventori botani komprehensif yang dijalankan di bawah kerjasama WWF-Malaysia dan CIMB Islamic. Ia mendokumentasikan kekayaan flora kawasan tersebut, memberikan pandangan tentang fungsi ekosistem, serta menyerlahkan kepentingan perancangan pemuliharaan jangka panjang.

Dalam ucapan pada majlis pelancaran, Yang Berhormat Puan Leong Yu Man menekankan kepentingan mengimbangi pembangunan dengan perlindungan alam sekitar. “Fraser’s Hill bukan sahaja permata alam bagi Negeri Pahang, tetapi juga ekosistem penting yang menyokong biodiversiti dan keselamatan air. Usaha seperti penerbitan ini amat penting untuk mengukuhkan pemahaman kita dan membimbing usaha pemuliharaan masa depan.”

Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi WWF-Malaysia,  berkata penyelidikan berasaskan sains selain kerjasama dengan pihak berkepentingan lain seperti Kerajaan Negeri Pahang dan CIMB Islamic memainkan peranan besar dalam usaha dalam pemuliharaan Bukit Fraser. “Buku ini mencerminkan hasil kerja lapangan, penyelidikan dan kerjasama yang berterusan. Ia mengumpulkan pengetahuan berharga yang menyokong perancangan pemuliharaan yang lebih baik serta membantu mendalami pemahaman awam terhadap ekosistem Fraser’s Hill.”

Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, menekankan kepentingan mengubah komitmen kelestarian kepada hasil yang nyata. “Kerjasama kami bersama WWF-Malaysia mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar. Walaupun buku ini merupakan salah satu hasil daripada kolaborasi tersebut, fokus utama inisiatif ini adalah terhadap penyelidikan, kerja lapangan dan usaha pemeliharaan jangka panjang. Sebagai penerbitan ketiga dalam siri Jewel selepas Jewel of Kedah: Hutan Ulu Muda dan Jewel of Terengganu: Setiu Wetlands, ia menzahirkan komitmen berterusan CIMB Islamic dalam memelihara landskap ekologi penting negara.”

Selain mendokumentasikan biodiversiti, penerbitan ini juga mencerminkan pendekatan pemuliharaan yang lebih luas yang mengintegrasikan sains, dasar dan penglibatan komuniti. Ia menjadi sumber visual dan pengetahuan untuk pembuat dasar, penyelidik dan awam.

Pelancaran ini mengukuhkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam melindungi warisan alam Malaysia serta menunjukkan kepentingan kerjasama jangka panjang dalam mencapai hasil pemuliharaan yang boleh diukur.

© Rahana Husin / WWF-Malaysia




© Rahana Husin / WWF-Malaysia

© Rahana Husin / WWF-Malaysia


- Tamat -

Mengenai WWF-Malaysia
Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia adalah sebahagian daripada WWF, iaitu sebuah organisasi pemuliharaan antarabangsa. Berusaha untuk memulihara alam semula jadi demi manfaat manusia dan hidupan liar, usaha pemuliharaan alam oleh WWF-Malaysia memberi tumpuan kepada enam matlamat utama - hutan, lautan, hidupan liar, makanan, iklim dan tenaga, dan air tawar – dan tiga pemacu utama masalah alam sekitar – pasaran, kewangan dan tadbir urus. Misi kami adalah untuk menghentikan kemerosotan alam sekitar semula jadi bumi dan membina masa depan di mana manusia hidup dalam harmoni dengan alam semula jadi. Dapatkan berita terkini kami di sini.

Tentang CIMB Islamic
CIMB Islamic adalah institusi kewangan Islam terkemuka yang komited untuk memajukan pembangunan lestari melalui perbankan bertanggungjawab dan pengurusan alam sekitar.

Nota Kepada Media
1) Semua petikan hendaklah dikreditkan kepada individu yang disebut dalam siaran media ini.
2) Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, sila rujuk butiran di bawah. Harap maklum bahawa individu ini hanya untuk tujuan hubungan dan bukan jurucakap rasmi organisasi, jadi kami menghargai jika nama ini tidak dicetak dalam artikel.

Rozzana Basri (Pengarah Komunikasi dan Pemasaran WWF-Malaysia)
Emel: rbasri@wwf.org.my
 
Justin Ang (Pegurus Kanan Komunikasi WWF-Malaysia)
Emel: justinang@wwf.org.my

Sha Roose (Eksekutif Kanan, Komunikasi WWF-Malaysia)
Emel : anroose@wwf.org.my
 

Bantu kami sebarkan mesej ini