The WWF is run at a local level by the following offices...
- WWF Global
- Adria
- Argentina
- Armenia
- AsiaPacific
- Australia
- Austria
- Azerbaijan
- Belgium
- Bhutan
- Bolivia
- Borneo
- Brazil
- Bulgaria
- Cambodia
- Cameroon
- Canada
- Caucasus
- Central African Republic
- Central America
- Central Asia
- Chile
- China
- Colombia
- Croatia
- Democratic Republic of the Congo
- Denmark
- Ecuador
- European Policy Office
- Finland
Meraikan Hutan, Memperkasa Komuniti: Usaha WWF-Malaysia di Sarawak
Di tengah-tengah derasnya sungai dan desiran angin yang menari di celah daun, hutan berdiri megah sebagai “paru-paru Bumi”, mengekalkan keseimbangan alam serta kehidupan semua makhluk yang bergantung kepadanya. Setiap daun dan pokok menjadi saksi bisu terhadap keajaiban alam yang tiada ternilai, sambil menyokong kehidupan manusia melalui makanan, air dan udara bersih.
Setiap tahun pada 21 Mac, dunia menyambut Hari Hutan Antarabangsa untuk mengiktiraf peranan penting hutan dalam kehidupan kita serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan hutan yang mampan. Tema tahun ini, “Hutan dan Ekonomi”, menekankan bahawa hutan bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah merupakan pemacu penting kemakmuran ekonomi, termasuk menyokong mata pencarian dan sistem makanan, mengekalkan sumber air bersih, mengawal iklim, serta menyediakan penyelesaian berasaskan alam.
Menurut laporan berita yang memetik kenyataan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad pada Julai 2025, hutan bukan sekadar menyediakan tanah semula jadi, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi dalam pelbagai aspek, khususnya di kawasan kaya hutan seperti Sarawak. Beliau menyatakan bahawa hutan di negeri ini menyumbang antara RM 2.8 bilion hingga RM 3.5 bilion setahun. Sumbangan ini merangkumi manfaat nyata seperti kayu balak, produk hutan bukan kayu dan ekopelancongan, serta manfaat tidak ketara seperti perkhidmatan ekosistem dan nilai budaya.
Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia di Sarawak, Cynthia Chin, menekankan bahawa angka ini menunjukkan bahawa hutan adalah penting bukan sahaja sebagai warisan semula jadi, malah sebagai aset ekonomi. Hutan menyediakan bahan mentah untuk industri berasaskan hutan, sumber makanan dan perubatan, serta perkhidmatan ekosistem seperti air bersih, perlindungan daripada banjir dan penyimpanan karbon. Manfaat ini membantu mengurangkan kos serta menambah nilai jangka panjang.
Sebagai sebahagian daripada lanskap orang utan di Ulu Ai-Sedilu, WWF-Malaysia melaksanakan projek bertajuk “Memperkasa Mata Pencarian Komuniti Ulu Ai Kanan di Lanskap Ulu Sungai Menyang, Batang Ai, Sri Aman, Sarawak”. Projek ini merupakan kerjasama antara WWF-Malaysia dan Ulu Ai Conservancy, dengan pembiayaan daripada German Federal Ministry for Economic Cooperation and Development (BMZ).
Objektif utama projek ini adalah untuk mengukuhkan pemuliharaan orang utan dengan memastikan habitat hutan kekal bersambung dan diurus secara mampan. Pada masa yang sama, projek ini menekankan kepentingan memperkasakan komuniti Iban sebagai rakan utama dalam pengurusan sumber semula jadi.
Lanskap Ulu Sungai Menyang, yang terletak di luar sempadan kawasan perlindungan penuh, adalah kawasan penting untuk pergerakan dan kelangsungan hidup populasi orang utan. Projek ini menyokong usaha pemuliharaan dan penyambungan habitat penting orang utan melalui pendekatan pengurusan lanskap menyeluruh yang dikenali sebagai kawasan pemuliharaan komuniti.
Selain itu, Chin berkongsi bahawa tinjauan orang utan terkini WWF-Malaysia di kawasan Ulu Sungai Menyang menunjukkan peningkatan populasi yang signifikan. “Pasukan mamalia darat kami menjalankan kiraan sarang bertanda pada 2025. Hasil analisis kami menunjukkan populasi orang utan meningkat kepada anggaran 167 individu berbanding 115 individu dalam tinjauan oleh rakan pemuliharaan lain pada 2014. Pengurusan kawasan hutan komuniti secara mampan membantu mengurangkan risiko berlakunya pengasingan habitat. WWF-Malaysia mengiktiraf bahawa pemuliharaan lebih berkesan apabila komuniti tempatan mempunyai sumber pendapatan alternatif yang stabil. Oleh itu, projek ini memperkenalkan pelbagai inisiatif mata pencarian mampan”
Antara aktiviti utama termasuk:
-
Pertanian lada mampan – Mempromosikan amalan pertanian baik yang mengurangkan penggunaan bahan kimia dan mengelakkan pembukaan hutan baru.
-
Agroperhutanan– Menggabungkan tanaman pertanian dengan pokok hutan, mengekalkan struktur ekosistem sambil menjana pendapatan.
-
Penanaman cendawan – Menyediakan peluang ekonomi tambahan yang memerlukan ruang kecil dan tidak merosakkan hutan.
-
Penghasilan kraf tradisional – Menggunakan kemahiran dan budaya tempatan sebagai sumber pendapatan alternatif.
Agroperhutanan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan keperluan ekonomi dan pemuliharaan. Ia membolehkan komuniti menanam tanaman bernilai komersial tanpa menebang keseluruhan hutan, sambil mengekalkan fungsi ekologi seperti penyimpanan karbon dan perlindungan tanah.
Melalui projek ini, komuniti memperoleh sumber pendapatan yang lebih stabil sambil meningkatkan kapasiti dalam pengurusan tanah dan hutan secara mampan. Ini mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti yang berpotensi merosakkan hutan, seperti pembukaan tanah baru secara tidak terkawal.
Lebih penting, apabila komuniti melihat manfaat ekonomi langsung daripada hutan yang dipulihara, pemuliharaan menjadi kepentingan bersama dan bukan sekadar agenda organisasi luar. Model ini menunjukkan bahawa hutan boleh menjadi asas bagi ekonomi tempatan yang tahan lasak dan inklusif.

Penanaman lada secara mampan berupaya menyokong kesejahteraan komuniti setempat di samping memelihara kelestarian hutan negara. © Ezen Chan / WWF-Malaysia

Lembaga Malaysian Pepper Board, Ulu Ai Conservancy dan WWF-Malaysia telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa amalan penanaman lada secara mampan di landskap Ulu Sungai Menyang. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti tempatan serta memperkukuh usaha pemuliharaan hutan secara bersepadu. © Ezen Chan / WWF-Malaysia
Di Ba’ Kelalan, WWF-Malaysia telah memperkenalkan System of Rice Intensification (S.R.I.) sebagai alternatif yang lebih cekap dan mesra alam berbanding kaedah penanaman padi secara konvensional. Berbeza dengan amalan tradisional yang bergantung kepada pengairan berterusan serta penggunaan baja kimia, pendekatan S.R.I. menekankan kawalan penggunaan air, penjarakan tanaman secara sistematik dan pengurusan tanah yang efektif bagi meningkatkan kesuburan semula jadi.
Pelaksanaan S.R.I. berupaya meningkatkan kecekapan penggunaan air, mengekalkan kesihatan tanah, menyokong biodiversiti serta menambah hasil pengeluaran tanaman. Dengan mengelakkan penggunaan baja dan racun perosak kimia, kaedah ini dapat mengurangkan kos input sekali gus meningkatkan margin keuntungan petani. Dalam jangka panjang, pendekatan ini menyumbang kepada pembinaan sistem pertanian yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Peningkatan produktiviti padi juga mengurangkan keperluan untuk membuka kawasan hutan baharu bagi tujuan pertanian, suatu pertimbangan yang amat penting di kawasan utara Sarawak yang kaya dengan biodiversiti.

Sawah padi S.R.I. berkembang subur tanpa penggunaan baja kimia. © Ezen Chan / WWF-Malaysia

Pertanian padi secara mampan bukan sahaja memelihara kesuburan tanah, malah turut meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. © Ezen Chan / WWF-Malaysia

Menjelang tahun 2025, lebih daripada 100 orang petani di Ba’ Kelalan telah mengamalkan kaedah penanaman padi secara mampan. © Ezen Chan / WWF-Malaysia

Para petani di Ba’ Kelalan turut berusaha memperoleh pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (Malaysian Good Agricultural Practices, MyGAP), sekali gus memperkukuh pelaksanaan pertanian padi mampan menjamin keselamatan makanan negara. © Ezen Chan / WWF-Malaysia
WWF-Malaysia menekankan kepentingan pemerkasaan komuniti dan amalan tadbir urus yang inklusif, sekali gus membolehkan masyarakat tempatan terlibat secara aktif dalam pengurusan hutan. Menurut Chin, pendekatan ini bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah memperluas penggunaan hasil hutan secara mampan, seterusnya menyokong sumber pendapatan komuniti dan memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Sempena International Day of Forests, Chin menegaskan bahawa penghargaan wajar diberikan kepada semua pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini, termasuk agensi kerajaan, rakan pelaksana, komuniti setempat, para penyelidik, sektor swasta serta penyumbang dana tempatan dan antarabangsa. Kerjasama pelbagai pihak ini membuktikan bahawa pengurusan hutan secara mampan memerlukan komitmen kolektif dan perkongsian visi yang jelas.
Beliau merumuskan bahawa usaha meraikan hutan bermakna mengiktiraf nilainya sebagai asas ekonomi, sumber kehidupan dan jaminan terhadap masa depan yang mampan untuk generasi akan datang. Apabila hutan dipelihara secara bertanggungjawab, kesejahteraan komuniti dan kestabilan ekonomi dapat diperkukuh secara berterusan.
- TAMAT -
Mengenai WWF-Malaysia
Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia adalah sebahagian daripada WWF, iaitu sebuah organisasi pemuliharaan antarabangsa. Berusaha untuk memulihara alam semula jadi demi manfaat manusia dan hidupan liar, usaha pemuliharaan alam oleh WWF-Malaysia memberi tumpuan kepada enam matlamat utama - hutan, lautan, hidupan liar, makanan, iklim dan tenaga, dan air tawar – dan tiga pemacu utama masalah alam sekitar – pasaran, kewangan dan tadbir urus. Misi kami adalah untuk menghentikan kemerosotan alam sekitar semula jadi bumi dan membina masa depan di mana manusia hidup dalam harmoni dengan alam semula jadi.
Dapatkan berita terkini kami di sini:
https://www.wwf.org.my/ms/berita/pusat_media/