Apa yang anda ingin cari?

Our News

Surat Kepada Pengarang: WWF-Malaysia Desak Tindakan Tegas

Pembunuhan Harimau, Simbol Negara Tercemar:
WWF-Malaysia Desak Tindakan Tegas

 

WWF-Malaysia amat terkejut dan kecewa dengan penemuan bangkai seekor Harimau Malaya di Johor, dengan tiga individu ditahan berhubung jenayah kejam ini pada Hari Malaysia. Harimau Malaya bukan sahaja spesies yang diancam kepupusan kritikal – dengan kurang daripada 150 ekor sahaja tinggal di habitat liar – malah ia juga lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan  kita. Lebih memilukan, nyawanya diragut melalui jerat dan tembakan pada hari rakyat Malaysia memperingati pembentukan negara. Ini merupakan jenayah terhadap ekosistem kita, serta mencalar semangat kebangsaan.

Kami amat marah kerana meskipun pelbagai usaha dan pengorbanan telah dilakukan untuk melindungi Harimau Malaya, namun masih ada pemburu haram yang dengan rakus membunuh makhluk megah ini demi keuntungan sementara. Tindakan sebegini tidak menunjukkan sebarang hormat terhadap alam semula jadi, tiada belas kasihan, dan tiada penghayatan terhadap peranan penting harimau dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Membunuh salah satu daripada kurang 150 ekor harimau yang masih ada di Malaysia bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah amat kejam. Jenayah sebegini adalah penghinaan terhadap negara, dan mesti dihukum dengan kuat dan tanpa kompromi mengikut undang-undang.

Di bawah pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2022 (Akta A1646), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun di bawah Seksyen 71. Namun, undang-undang hanya sekuat penguatkuasaannya. Kami menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman ini sepenuhnya, bagi memberi mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan jenayah bunuh ke atas ikon negara.

Harimau Malaya kini terancam dari semua sudut – daripada hutan yang semakin mengecil dan kehilangan habitat, kepada bilangan yang terlalu sedikit untuk pembiakan mampan, serta kekurangan mangsa akibat pemburuan haram, jerat, dan penyakit. Ancaman ini menjadikan populasi harimau di habitat asalnya semakin rapuh. Kami percaya semua NGO yang terlibat – RIMAU, WCS Malaysia, PELINDUNG, TRAFFIC, Panthera Malaysia, MYCAT, Persatuan Pencinta Alam Malaysia – turut sama marah dan amat kecewa, dan kami berdiri seiring dalam perjuangan ini bersama rakan korporat kami, Maybank, serta para penyumbang.

Sokongan daripada PERHILITAN, semua agensi taman negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia adalah sangat penting, dan kita mesti menggandakan usaha bersama ini. Kami memuji tindakan pantas Bukit Aman dan PERHILITAN menahan suspek, namun penghargaan utama harus diberikan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat. Ini membuktikan betapa pentingnya peranan masyarakat untuk terus berwaspada dan melaporkan jenayah hidupan liar tanpa ragu.

Melindungi spesies ini bukan sekadar isu pemuliharaan – ia tentang melindungi maruah, warisan, dan masa depan Malaysia. WWF-Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak penguatkuasa, rakan kongsi dan masyarakat demi memastikan tragedi ini menguatkan, bukan melemahkan, azam kita untuk menghapuskan jenayah hidupan liar buat selama-lamanya.

Semoga pembunuh harimau ini segera diheret ke muka pengadilan.

 

Dr. Henry Chan
Pengarah Kanan, Konservasi, WWF-Malaysia

 

 

– TAMAT –

 

Mengenai WWF-Malaysia 
World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian World Wide Fund for Nature (WWF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia mempunyai misi menghentikan degradasi alam semula jadi bumi dan membina masa hadapan yang harmoni untuk manusia dan alam sekitar. Kebanyakan kerja WWF-Malaysia bertumpu kepada enam fokus, iaitu hutan, laut, air tawar, hidupan liar, makanan, serta iklim dan tenaga.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek-projek WWF-Malaysia, sila layari laman web kami di:

https://www.wwf.org.my/ms/berita/pusat_media/

Bantu kami sebarkan mesej ini