Apa yang anda ingin cari?

Our News

Kenyataan Akhbar Bersama: Hari Harimau Sedunia 2025 - Rakyat Malaysia Bersatu Demi Perlindungan Hidupan Liar Sempena Hari Harimau Sedunia

“Stride for Stripes, Stand for Coexistence”: 
Rakyat Malaysia Bersatu Demi Perlindungan Hidupan Liar Sempena Hari Harimau Sedunia

WWF-Malaysia dan Maybank anjur larian bertemakan pemuliharaan dengan penyertaan 1,000 pelari, menyeru tindakan segera lindungi harimau dan hidupan liar  
 
Sempena Hari Harimau Sedunia 2025, WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank telah menganjurkan acara ‘Run For Tigers’ di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya pada hari Sabtu, 26 Julai 2025. Larian santai sejauh 3.5km ini, terbuka kepada 1,000 peserta, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai konflik manusia-hidupan liar serta keperluan untuk wujud bersama secara harmoni — satu tema yang amat relevan dan mendesak pada tahun ini. 

Tema tahun ini, “Stride for Stripes, Stand for Coexistence” membawa mesej yang penuh makna. Ketika ancaman terhadap hidupan liar Malaysia semakin meruncing, inilah masanya untuk individu, komuniti dan organisasi bersatu hati serta menyuarakan sokongan terhadap usaha pemuliharaan. Melindungi harimau bermakna kita turut melindungi hutan, biodiversiti dan keseimbangan ekosistem negara. 

Para peserta mengambil bahagian dalam aktiviti bertemakan pemuliharaan, termasuk cabaran “Spot the Wildlife” di sepanjang laluan larian, di mana pelari menggunakan telefon bimbit mereka untuk mengambil gambar model haiwan liar dan menebus token di booth harimau. Pertandingan “Pakaian Terbaik” yang popular turut kembali, menggalakkan peserta mengenakan kostum kreatif yang diinspirasikan oleh spesies yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum. Terdapat juga aktiviti seperti lukisan muka dan permainan menarik untuk semua peringkat umur, menjadikan acara ini pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna untuk seisi keluarga. Pasukan pemuliharaan harimau serta wakil renjer juga akan berada di booth harimau untuk berkongsi maklumat mengenai usaha pemuliharaan di lapangan. 

Acara ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo A/L Kim, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), yang mencerminkan komitmen padu kerajaan dalam usaha melindungi hidupan liar serta kerjasama antara agensi bagi memelihara khazanah alam semula jadi negara. 

“Keberkesanan kepada usaha pemuliharaan memerlukan kerjasama kukuh pelbagai pihak. ‘Run For Tigers’ menunjukkan bagaimana Kerajaan, rakan kerjasama, pihak swasta serta masyarakat umum boleh bersatu demi melindungi hidupan liar dan memastikan masa depan yang harmoni antara manusia dan alam,” ujar beliau. 

“Ini bukan sekadar acara larian — ia adalah sebuah gerakan. Dengan bilangan harimau Malaya liar yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor, kita semua mesti bersatu untuk melindungi bukan sahaja spesies ikonik ini, tetapi juga hidupan lain yang berkongsi habitat yang sama,” ujar Pengerusi WWF-Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar. “Dengan melindungi harimau, kita turut melindungi spesies haiwan lain seperti gajah, tapir, harimau dahan, beruang matahari dan banyak lagi — kerana keharmonian dengan alam membawa harapan bukan sahaja untuk harimau, tetapi seluruh ekosistem.” 

Pengerusi Kumpulan Maybank dan Maybank Foundation, Tan Sri Dato’ Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa berkata: “Kerjasama kami dengan WWF-Malaysia mencerminkan komitmen berterusan Maybank terhadap pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar. Kami melihat kelestarian bukan sebagai usaha bersendirian, tetapi memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak – sama ada rakan strategik mahupun individu – bagi mendorong tindakan yang bermakna. Menyokong inisiatif seperti ‘Run For Tigers’ membolehkan kami berhubung dengan orang awam dan menggalakkan perubahan tingkah laku.” 

Turut hadir pada acara ini ialah Yang Berusaha Pn. Sophia Lim, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, dan Yang Berusaha Izlyn Ramli, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Foundation. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen kepimpinan yang kukuh daripada kedua-dua organisasi dalam memacu impak pemuliharaan, menggalakkan penglibatan awam, dan menyokong kerjasama jangka panjang demi melindungi khazanah alam semula jadi Malaysia. 

Semenjak kerjasama antara WWF-Malaysia dan Maybank terjalin, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam usaha pemuliharaan harimau. Di Belum-Temengor, salah satu kawasan penting bagi perlindungan harimau Malaya, usaha pencegahan pemburuan telah berjaya mengurangkan sebanyak 98% jerat aktif. Kehadiran anak harimau di hutan merupakan petanda positif usaha pemuliharaan yang dilakukan membuahkan hasil.  Sokongan dasar juga semakin kukuh, dengan advokasi bersama menyumbang kepada pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar untuk meningkatkan hukuman terhadap pemburuan dan penyeludupan spesies terancam. Kemajuan institusi termasuk penubuhan Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF), Biro Jenayah Hidupan Liar, dan pada tahun 2023, pengiktirafan Taman Negeri Royal Belum di bawah standard CA|TS (Conservation Assured | Tiger Standards) — kawasan pemuliharaan harimau yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperolehi akreditasi CA|TS. Pencapaian ini mencerminkan komitmen jangka panjang bersama dalam melindungi harimau Malaya dan hidupan liar lain, hutan serta komuniti yang bergantung kepadanya. 

Kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi amat penting. WWF-Malaysia akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak, PERHILITAN serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha pemuliharaan harimau dan habitat semulajadinya seperti RIMAU, PELINDUNG, WCS Malaysia, Panthera Malaysia, TRAFFIC, Justice for Wildlife dan lain-lain. 

Kematian harimau Malaya akibat pelanggaran jalan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat membimbangkan. Ancaman ini menekankan betapa pentingnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk hidupan liar, termasuk pembinaan lintasan khas dan koridor hidupan liar bagi menghubungkan hutan-hutan yang terpisah. Gambar seekor ibu gajah yang berdiri di sisi anaknya yang mati dilanggar pada Hari Ibu lalu telah menyentuh perasaan seluruh negara. Ia menjadi peringatan menyayat hati bahawa kita perlu menilai semula hubungan kita dengan alam dan melindungi habitat yang dikongsi bersama. Hutan bukan milik kita semata-mata — ia juga rumah kepada banyak makhluk lain. 

Masa depan harimau Malaya terletak di tangan kita semua. Melindungi satu spesies bermakna kita turut menjaga keseluruhan ekosistem dan nyawa yang bergantung padanya. Sama ada memperlahankan kenderaan di lintasan hidupan liar, melaporkan aktiviti haram, menjadi sukarelawan atau kekal peka terhadap isu semasa — setiap tindakan kita membawa makna. Bersama-sama, kita mampu melindungi apa yang masih ada. Dan memulihkan apa yang telah hilang. 
 
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara anda boleh membantu menyelamatkan harimau Malaya yang megah ini, layari wwf.org.my/tiger
 

- TAMAT - 


Mengenai WWF-Malaysia 
World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian World Wide Fund for Nature (WWF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia mempunyai misi menghentikan degradasi alam semula jadi bumi dan membina masa hadapan yang harmoni untuk manusia dan alam sekitar. Kebanyakan kerja WWF-Malaysia bertumpu kepada enam fokus, iaitu hutan, laut, air tawar, hidupan liar, makanan, serta iklim dan tenaga. 

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek-projek WWF-Malaysia, sila layari laman web kami di:
https://www.wwf.org.my/ms/berita/pusat_media/



Mengenai Maybank 
Maybank merupakan salah satu kumpulan kewangan terkemuka di Asia dan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi jumlah aset, dengan hampir 44,000 kakitangan di seluruh dunia. Kumpulan ini memiliki rangkaian antarabangsa merangkumi kira-kira 2,600 pejabat di 18 buah negara, termasuk kesemua 10 negara ASEAN serta hadir di pusat kewangan antarabangsa seperti London, New York, Hong Kong dan Dubai. Berpandukan matlamat untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan serta strategi M25+, Maybank menyediakan pelbagai penyelesaian berasaskan nilai yang diasaskan pada prinsip kelestarian dan etika, bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. Rangkaian produk dan perkhidmatan yang komprehensif ini merangkumi perbankan pengguna dan korporat, perbankan pelaburan, perbankan Islam, pembrokeran saham, insurans dan takaful, serta pengurusan aset.
(www.maybank.com)
Bantu kami sebarkan mesej ini