The WWF is run at a local level by the following offices...
- WWF Global
- Adria
- Argentina
- Armenia
- AsiaPacific
- Australia
- Austria
- Azerbaijan
- Belgium
- Bhutan
- Bolivia
- Borneo
- Brazil
- Bulgaria
- Cambodia
- Cameroon
- Canada
- Caucasus
- Central African Republic
- Central America
- Central Asia
- Chile
- China
- Colombia
- Croatia
- Democratic Republic of the Congo
- Denmark
- Ecuador
- European Policy Office
- Finland
Our News
Rencana: Manusia dan Alam Semulajadi adalah Satu
Saling berhubung kait – manusia dan alam semulajadi adalah satu
~ Manusia bergantung kepada alam semulajadi untuk hidup, jadi marilah kita menjaga dan menggunakan semua sumber secara mampan ~
~ Manusia bergantung kepada alam semulajadi untuk hidup, jadi marilah kita menjaga dan menggunakan semua sumber secara mampan ~
Petaling Jaya, SELANGOR: Tinggal di kawasan bandar, memang mudah untuk mendapatkan bekalan makanan dan air. Di sini ada kedai-kedai serbaneka 24 jam, pasar-pasar raya, kafe dan restoran yang dibuka bila-bila masa dan berada hampir di segenap lokasi. Sama halnya, jika kurang sihat, klinik dan farmasi pula terletak berhampiran.
Bagaimanapun, bagi yang tinggal di kawasan terpencil, mereka kerap bergantung kepada hutan sebagai sumber rezeki dan ubat-ubatan tradisi, serta sungai-sungai yang bersih untuk keperluan harian. Justeru tema untuk Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini adalah Hutan dan Makanan, dengan menggariskan kepentingan untuk mengekalkan hutan-hutan yang sihat bagi terus menyokong kemampanan manusia, hidupan liar dan keseluruhan ekosistem.
Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr Henry Chan menegaskan bahawa komuniti tempatan dan orang asal di negara ini bergantung kepada hutan sebagai sumber kehidupan menerusi hasil hutan bukan kayu (NTFP).
“Hutan juga menjamin sungai-sungai, yang berfungsi sebagai talian hayat untuk kebanyakan komuniti tempatan dan orang asal, terus sihat agar manusia boleh menikmati bekalan air bersih dan sumber-sumber protein, misalnya dari ikan air tawar dan udang. Air bersih di sungai juga menjamin sawah-sawah padi akan diairi dan menghasilkan beras yang sihat – bukan sahaja untuk komuniti di luar bandar tetapi juga di bandar,” kata beliau di dalam amanat bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa yang akan disambut pada 21 Mac ini. Mesej ini juga selaras untuk Hari Air Sedunia dan sambutan Earth Hour yang jatuh pada 22 Mac.
Kompleks Hutan Ulu Muda di Kedah merupakan contoh utama bagaimana hutan, sungai dan pertanian saling berhubung kait antara satu sama lain. Kawasan hutan hujan yang luas di Ulu Muda memainkan peranan penting di dalam mengekalkan Sungai Muda, melalui rangkaian empangannya untuk menyalirkan air ke wilayah Lembaga Pertanian Muda (MADA), sekali gus merupakan kawasan penanaman padi terbesar di Malaysia, (hampir 40 peratus daripada kawasan padi negara ditanam di sini).
Selain menyokong pengeluaran beras, Ulu Muda juga merupakan habitat untuk pelbagai flora yang memantapkan manusia dan hidupan liar. Sungai yang kaya khasiat, membekalkan ikan air tawar kepada komuniti tempatan, yang juga bergantung kepada hutan untuk mendapatkan NFTP seperti tumbuh-tumbuhan liar yang boleh dimakan, herba-herba untuk perubatan dan rotan untuk keperluan harian.
Sebagai daripada itu, tuaian madu lebah liar dari pokok-pokok tualang, juga merupakan aktiviti penting di kawasan ini. Komuniti tempatan juga bergantung kepada hutan sebagai bekalan air alternatif menerusi inisiatif Air Masyarakat, iaitu sebuah inisiatif air menggunakan sistem graviti.
Keadaan ini hampir sama dengan komuniti asal di Sarawak, di mana komuniti Lun Bawang di Tanah Tinggi Ba’ Kelalan bergantung kepada gunung yang padat dengan tumbuh-tumbuhan dan sungai-sungai yang bersih untuk menanam varieti beras wangi terkenal, beras Adan.
Kebelakangan ini, komuniti di sana telah mengambil langkah menanam padi menggunakan Sistem Intensifikasi Padi, satu keadah bebas bahan kimia dan racun serangga, yang dijayakan melalui kerjasama dengan WWF-Malaysia, Sri Lovely Farm di Kedah dan Jabatan Pertanian.
Kelompok Penan semi nomadik pula mendapatkan tumbuh-tumbuhan boleh dimakan seperti rumbia untuk diproses menjadi tepung. Tepung ini dimasak menggunakan air panas dan akan berubah menjadi makanan yang dikenali sebagai na’o dan merupakan makanan ruji mereka.
Komuniti Iban juga bergantung kepada hutan bagi mendapatkan sumber-sumber makanan seperti daun sabong (Gnetum gnemon) dan midin (Stenochlaena palustris) sebagai sayur-sayuran, biji engkabang (Shorea macrophylla) untuk diproses menjadi mentega vegan serta pelbagai varieti tumbuhan perubatan untuk merawat penyakit-penyakit ringan.
Komuniti orang asal di negeri ini juga mengumpul NTFP seperti rotan, buluh dan bemban untuk dianyam menjadi bakul dan topi bagi kegunaan harian mereka. Sebahagian penganyam juga menghasilkan barangan yang diberi nilai tambah untuk dijual sebagai kraf tangan bagi sumber pendapatan sampingan.
Di beberapa kawasan projek WWF-Malaysia di Sarawak seperti Ulu Katibas di Song dan Ulu Sungai Menyang di Batang Ai, sungai-sungainya ibarat ‘lebuh raya’ disebabkan ketiadaan sistem jalan raya, membolehkan mereka masuk hutan, memburu, mendapatkan makanan ternakan dan mengangkut makanan.
“Ramai orang Iban bergantung kepada sungai untuk sampai ke ladang-ladang dan mengangkut hasil tuaian ke pekan berhampiran atau ke bandar untuk dijual. Sungai juga penting sebagai sumber air bersih dan ikan air tawar bagi mengekalkan kehidupan mereka,” jelas Dr Chan.
Sama halnya dengan komuniti orang asal di Sabah yang bergantung kepada hutan dan sungai untuk kehidupan seharian mereka sebagai sumber rezeki, amalan budaya dan kelangsungan kehidupan. Kaum Murut di hutan Nabawan dan Tenom mencari keladi liar (Dioscorea hispida), buah tarap (Artocarpus odoratissimus) dan tongkat ali (Eurycoma longifolia) untuk kegunaan perubatan.
Di sepanjang sungai, komuniti seperti Tidong di Tawau, bergantung kepada ikan baung dan udang galah sebagai sumber protein utama. Sungai-sungai ini menyediakan makanan dan bertindak sebagai laluan pengangkutan, membolehkan komuniti untuk sampai ke pasar, sekolah dan lokasi perkhidmatan kesihatan. Tanpa jaringan jalan raya yang ekstensif, jalan air ini kekal kritikal untuk kehidupan mampan dan aktiviti ekonomi, sama seperti Sarawak.
Justeru ketika orang ramai meraikan kepelbagaian alam semulajadi serta pelbagai manfaatnya, Dr Chan mengingatkan mereka bahawa hutan, air dan tenaga bukanlah isu yang terasing, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada jaringan kehidupan yang memperkasa kehidupan semua.
“Hutan memberikan kita udara bersih dan mengawal hujan, memulihara sungai-sungai dan akuifer. Air memberikan khasiat untuk pertumbuhan hutan-hutan, menyediakan makanan untuk komuniti dan memperkasa kehidupan. Pilihan-pilihan tenaga, terutama bahan api fosil, memberi impak kepada hutan dan sistem air menerusi perubahan cuaca.
“Jika kita terlebih menerokai hutan, kita akan mengeringkan sungai-sungai. Apabila kita mencemari sungai-sungai, kita menjejaskan hutan. Apabila kita membakar bahan api fosil, kita memanaskan planet, seterusnya mengancam kedua-duanya. Detik global ini bukan sekadar sehari di dalam kalendar – ia adalah peringatan bahawa kehidupan kita di tenun ke fabrik alam semulajadi. Apa yang menjejaskan alam semulajadi, akan mejejaskan kita,” tambah beliau.
“Marilah kita sama-sama memulihara dan menjaga hutan-hutan terosot bagi menjaga sumber air dan cuaca kita. Pulihara dan hargailah air kerana setiap titik adalah bermakna. Tutup suis dan perjuangkan alam semulajadi semasa Earth Hour, dan laksanakan tindakan sebenar selepas tempoh itu,” kata beliau mengakhiri perbualan.
TAMAT

Alam semulajadi dan manusia adalah satu. Hutan dan sungai yang menyediakan makanan, air dan tenaga kepada manusia, merupakan satu jaringan rumit kehidupan yang memantapkan kita semua. © Akifah Jazman / WWF-Malaysia

Buah engkabang yang kaya dengan minyak, diperolehi dari hutan dan digunakan oleh penduduk tempatan sebagai alternatif untuk mentega. © Peter Jabat / WWF-Malaysia / Panda CLICK!

Komuniti Penan masih mengumpul rumbia di hutan untuk diproses menjadi tepung. © Aimi Hafiza Abdul Gaffar / WWF-Malaysia

Pandangan dari udara menunjukkan Sungai Muda, sumber air penting yang mengekalkan kehidupan di Kedah dan Pulau Pinang. Mendapat bekalan nutrisi dari Hutan Ulu Muda yang masih asli, airnya mengalir untuk membekalkan air terawat kepada komuniti dan menyokong aktiviti pertanian. © Sharifuz Zulhusni / WWF-Malaysia

Pokok tualang (Koompassia excelsa) menjulang tinggi sebagai ikon flora Ulu Muda. Ia menawarkan sumber utama tuaian madu untuk penduduk tempatan. Di Sarawak, pokok ini dikenali sebagai tapang, manakala di Sabah, dikenali sebagai mangaris dan menyediakan bekalan madu untuk komuniti serta hidupan liar. © Hasnoor Hussain / WWF-Malaysia

Di Trusan Sugut di Sabah, komuniti pesisir bergantung kepada eksosistem paya bakau untuk perikanan, kehidupan dan perlindungan daripada hakisan pesisir. © Mazidi Abd Ghani / WWF-Malaysia

Paku sarang burung (Asplenium nidus) di hutan Sabah, secara tradisi digunakan oleh komuniti orang asal untuk merawat luka, jagaan selepas bersalin dan ubatan herba. © Mazidi Abd Ghani / WWF-Malaysia
Mengenai WWF-Malaysia
World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian World Wide Fund for Nature (WWF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia mempunyai misi menghentikan degradasi alam semula jadi bumi dan membina masa hadapan yang harmoni untuk manusia dan alam sekitar. Kebanyakan kerja WWF-Malaysia bertumpu kepada enam fokus, iaitu hutan, laut, air tawar, hidupan liar, makanan, serta iklim dan tenaga.
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek-projek WWF-Malaysia, sila layari laman web kami di
https://www.wwf.org.my/ms/berita/pusat_media/