The WWF is run at a local level by the following offices...
- WWF Global
- Adria
- Argentina
- Armenia
- AsiaPacific
- Australia
- Austria
- Azerbaijan
- Belgium
- Bhutan
- Bolivia
- Borneo
- Brazil
- Bulgaria
- Cambodia
- Cameroon
- Canada
- Caucasus
- Central African Republic
- Central America
- Central Asia
- Chile
- China
- Colombia
- Croatia
- Democratic Republic of the Congo
- Denmark
- Ecuador
- European Policy Office
- Finland
Siaran Media: Hari Orang Asal Sedunia 2025
~ Bicara gambar mendokumentasi khazanah alam, warisan dan tradisi komuniti agar tidak ditelan zaman ~
Kuching, Sarawak – Di tengah kehijauan hutan Gunung Lesong–Ulu Sebuyau (GLUS), sebuah komuniti Iban bangkit dengan suara dan cara mereka sendiri iaitu melalui lensa kamera. Mereka bukan jurufoto profesional, sebaliknya terdiri daripada petani, suri rumah dan pesara yang kini menjadi pencerita sejati.
Inilah semangat di sebalik Panda CLICK!, sebuah program interaktif pemerkasaan komuniti anjuran WWF-Malaysia, yang memberi ruang kepada komuniti luar bandar untuk mendokumentasi dan berkongsi kisah mereka yang bersangkut paut dengan alam sekitar melalui fotografi secara sukarela.
Sempena Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos, WWF-Malaysia ingin menonjolkan usaha komuniti GLUS di Bahagian Sri Aman yang terlibat dalam Panda CLICK! sejak dua tahun lalu. Tema sambutan tahun ini, “Orang Asal dan Kecerdasan Buatan: Mempertahankan Hak, Membentuk Masa Depan”, amat bertepatan dengan usaha pemerkasaan orang asal GLUS melalui inisiatif ini.
Cynthia Chin, Ketua Program Pemuliharaan Sarawak WWF-Malaysia, berkata bahawa sebelum sebarang projek atau usaha pemuliharaan dilaksanakan, WWF-Malaysia sentiasa mengadakan sesi dialog bersama semua pihak berkepentingan, termasuklah komuniti orang asal. Sesi-sesi ini merupakan sebahagian daripada prinsip izin, maklum awal, bebas dan telus atau dalam Bahasa Inggeris, Free, Prior and Informed Consent (FPIC).
“Sesi-sesi FPIC juga dijalankan sebelum WWF-Malaysia memperkenalkan Program Panda CLICK!, bagi mendapatkan persetujuan dan sokongan komuniti serta memastikan penyertaan adalah sepenuhnya secara sukarela. FPIC adalah satu proses berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan projek atau program bersama komuniti,” ujar Chin.
Diperkenalkan dan dilancarkan pada Jun 2023, komuniti Iban di GLUS menggunakan kamera digital serta mengikuti latihan asas fotografi yang disediakan oleh WWF-Malaysia untuk merakam kehidupan seharian mereka, keindahan alam semula jadi serta cabaran yang dihadapi. Program ini berlangsung selama setahun dan berakhir apabila para peserta memulangkan semula kamera digital yang dipinjamkan. Seterusnya, pasukan komunikasi WWF-Malaysia bersama komuniti memulakan proses pemilihan foto dan penulisan naratif berdasarkan foto-foto yang dirakam.
“Namun lebih dari itu, mereka diberi peluang untuk melihat semula kehidupan seharian mereka, yang biasa pada pandangan sendiri, tetapi luar biasa apabila dilihat dari lensa. Setiap klik kamera menangkap bukan hanya gambar, tetapi juga warisan seperti khazanah alam yang menghijau, sawah yang diwarisi turun-temurun, ritual yang masih diamalkan, dan senyuman yang menyembunyikan seribu cerita,” tambah Chin.
Program Panda CLICK! di GLUS merupakan yang kedua dilaksanakan di Sarawak oleh WWF-Malaysia, selepas pelaksanaan pertamanya di Bahagian Kapit pada tahun 2018 yang melibatkan komuniti Iban dan Kenyah. Program Panda CLICK! di GLUS ini melibatkan 11 peserta dari tiga buah kampung, iaitu Langgir Ili, Menangkin Tengah dan Menuang Ulu.
‘Panda CLICK!’ membawa dua maksud penting: ‘Panda’ melambangkan komitmen WWF terhadap pemuliharaan alam, manakala ‘CLICK’ adalah singkatan kepada Communication Learning towards Innovative Change and Knowledge – atau dalam Bahasa Melayu, Pembelajaran Komunikasi ke arah Perubahan Inovatif dan Ilmu. Ia menjadi jambatan komunikasi antara komuniti dengan dunia luar.
Melalui gambar, peserta menyampaikan mesej bahawa kehidupan mereka tidak terpisah dari hutan, sungai, dan tanah, semuanya saling berkait. Dengan ini, WWF-Malaysia berharap suara dan pengalaman komuniti ini dapat menjangkau lebih ramai pihak, termasuk agensi pembangunan, rakan strategik, dan masyarakat umum.
Salah seorang peserta dari Kampung Langgir Ili, Maxwel Bari, berkata “Program Panda CLICK! banyak memberi manfaat kepada saya dari segi cara mengambil foto dan berkongsi pengetahuan dengan peserta lain. Ia juga mengasah diri saya untuk memberi ucapan dan perkongsian di hadapan khalayak ramai mengenai keunikan dan kepelbagaian biodiversiti di kampung saya.”
Seorang lagi dari Kampung Menangkin Tengah, Raymond Abas Nyegang berkongsi, “Saya dapat memupuk kemahiran fotografi melalui latihan berterusan dan maklum balas daripada pihak WWF-Malaysia. Melalui fotografi, saya dapat merakam keindahan alam sekitar dan menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran serta pemeliharaan biodiversiti di kampung kami”
Chin turut memaklumkan bahawa koleksi gambar yang dirakam oleh peserta GLUS bakal diterbitkan dalam sebuah buku meja kopi (coffee table book) tidak lama lagi, hasil kerjasama erat antara WWF-Malaysia dan komuniti.
“Kami berharap Panda CLICK! telah memperkasa komuniti untuk berkongsi kisah-kisah mereka menerusi fotografi, memupuk hubungan yang lebih erat sesama penduduk dan WWF-Malaysia, serta mempertahankan budaya dan alam semula jadi yang menjadi halaman hidup mereka selama ini,” kata Chin.
“Hari Orang Asal Sedunia bukan sekadar satu sambutan – ia adalah pengiktirafan dan penghormatan terhadap pengetahuan, budaya dan cara hidup orang asal yang begitu kaya dan bermakna. Dengan Panda CLICK!, kami tidak sekadar melihat gambar. Kita melihat dunia dari pandangan mata orang asal sendiri.”
- Tamat -







Mengenai WWF-Malaysia
World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian World Wide Fund for Nature (WWF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia mempunyai misi menghentikan degradasi alam semula jadi bumi dan membina masa hadapan yang harmoni untuk manusia dan alam sekitar. Kebanyakan kerja WWF-Malaysia bertumpu kepada enam fokus, iaitu hutan, laut, air tawar, hidupan liar, makanan, serta iklim dan tenaga.
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek-projek WWF-Malaysia, sila layari laman web kami di
https://www.wwf.org.my/media_and_information/media_centre_and_updates/