What would you like to search for?

Our News

Berani Tegur, Budaya Baharu Didik Masyarakat

18 Jun 2022, Melaka: Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjalankan kempen berani tegur yang merupakan budaya baharu di dalam usaha mendidik masyarakat lebih bertanggungjawab menjaga alam sekitar. Melalui kempen ini, penglibatan setiap individu dan masyarakat  sangatlah  diperlukan bagi memastikan kempen ini dapat mencapai sasaran ditetapkan terutama di kawasan tumpuan pelancong. 

Kempen Berani Tegur Dan Buang Sampah ke Dalam Tong Sampah merupakan program signature yang berperanan sebagai medium penyampaian fungsi dan tanggungjawab Perbadanan dalam menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha kerajaan bagi menjaga kebersihan negara secara bersama-sama. Pelaksanaan kempen ini selaras dengan strategi 4.2.6 dalam Dasar Kebersihan Negara iaitu menggalakkan penglibatan masyarakat untuk bersama-sama membuat pemantauan.

Datuk Zaidi Atan, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, dalam ucapannya memberitahu Melaka adalah salah satu negeri yang menerima jumlah pengunjung tertinggi terutama di musim perayaan dan cuti sekolah dan pastinya  tidak lari dari isu lambakan sampah apabila masih ada segelintir masyarakat tidak menggunakan fasiliti yang disediakan. Masyarakat perlu memainkan peranan dengan berani menegur jika mendapati masih ada golongan yang masih membuang sampah merata-rata, meninggalkan sisa baki di kawasan yang diduduki dan tidak mengamalkan budaya kebersihan yang betul, ujarnya.

Pemikiran masyarakat yang meletakkan tanggungjawab pembersihan kepada kerajaan semata-mata perlu dikikis. Penyertaan dari semua pihak Agensi kerajaan dan swasta,  Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institut Pengajian Tinggi dan komuniti sangat penting dalam mendidik masyarakat mengubah minda bagi menjamin persekitaran yang holistik dan mampan terutama di kawasan pelancongan.

Selain itu Zaidi turut memaklumkan, Kempen Berani Tegur adalah kesinambungan perlindungan habitat sempena Hari Penyu Sedunia 2022. SWCorp dengan kerjasama WWF-Malaysia turun padang di pantai Padang Kemunting menjalankan aktiviti plogging, mengutip sisa di sepanjang pesisir pantai sepanjang 1 kilometer yang merangkumi kawasan pendaratan utama bagi penyu Karah di negeri ini.  Kawasan yang bersih dan selamat dari ancaman merupakan salah satu faktor untuk penyu mendarat dan bertelur. Habitat penyu ini perlu dipelihara bagi memastikan kawasan ini masih menjadi pilihan untuk penyu Karah mendarat semasa musimnya setiap tahun.

Menurut beliau lagi, sebuah stesen pengumpulan barang kitar semula serta minyak masak terpakai telah dibina di kawasan balairaya Kampung Padang Kemunting di bawah Inisiatif Kampung Mesra Penyu dengan tujuan menambahbaik pengurusan sisa. Inisiatif ini melibatkan golongan komuniti termasuk JPKK Padang Kemunting dan JAPERUN Tanjung Bidara. 

Beliau turut dimaklumkan, WWF-Malaysia sentiasa sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka dalam perlindungan holistik penyu, dan ini termasuklah perlindungan pantai pendaratan penyu Padang Kemunting. Menurut beliau lagi WWF-Malaysia berusaha untuk bekerjasama dengan semua pihak agar pantai Padang Kemunting dapat diwartakan sebagai santuari penyu bagi memelihara kelestarian spesies terancam ini. Namun sebagai EXCO yang bertanggungjawab memastikan persekitaran pantai bebas pencemaran segala usaha dan inisiatif ini amatlah disokong.

Program turut disertai oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), SWM Environment Sdn. Bhd, Lions Club Tanjung Bidara, Kolej Komuniti Masjid Tanah dan komuniti dari Kampung Padang Kemunting. Turut hadir Ir Zulkifli Tamby Chik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia dan Pn. Lau Min Min, Pengurus Pemuliharaan Penyu Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia. 









Share This!

Help us spread the message