Terengganu Turtle Camp 2018 Anjuran WWF-Malaysia dan Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) | WWF Malaysia

Terengganu Turtle Camp 2018 Anjuran WWF-Malaysia dan Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT)



Posted on 28 August 2018
Seramai 40 orang pelajar bersama 10 orang guru pengiring daripada 10 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu menyertai kem ini.
© WWF-Malaysia /Rahana Husin
Kuala Terengganu, Terengganu: Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) bersama Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) baru-baru ini mengadakan program yang dinamakan Terengganu Turtle Camp 2018. Kem ini merupakan program tahunan yang diadakan bagi memberi peluang dan pendedahan kepada para peserta mengenai kesedaran betapa pentingnya memelihara khazanah alam iaitu penyu supaya tidak pupus pada masa hadapan serta merasai dengan lebih dekat lagi ilmu sains dan alam sekitar. Hal ini juga membolehkan mereka membuka minda ke arah kecemerlangan yang progresif, inovatif dan kreatif seiring dengan kemajuan sains dan teknologi dunia pada hari ini.

Salah satu daripada keistimewaan Terengganu Turtle Camp 2018 ini adalah cara pendekatannya yang memberi peluang pembelajaran dan pendedahan kepada para peserta untuk mengenali khazanah laut iaitu penyu dengan lebih dekat. Antara aktiviti-aktiviti yang telah diadakan adalah seperti  ceramah, bengkel yang lebih “hands-on”, Turtle Race dan juga lawatan ke kawasan-kawasan habitat penting yang wujud di kawasan sekitarnya.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan melindungi penyu dan memulihara ekosistem marin yang semakin terancam kepada pelajar. Penyertaan para pelajar daripada pelbagai sekolah akan mewujudkan perkongsian ilmu pengetahuan serta bermanfaat dari segi setia kawan, kerjasama antara peserta dalam pemuliharaan alam sekitar termasuk menyelamatkan penyu dengan menyebarkan mesej tidak memakan telur penyu,” ujar Prof Madya Dr Wan Nor Liza Bt Mahadi, Ketua Pegaswai Eksekutif PSKT.
 
Menurut Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr Henry Chan, “Penyu agar meragut rumput laut, dan membantu untuk mengekalkan rumput yang tumbuh di seluruh dasar laut dengan memastikan bilah rumput tidak terlalu panjang dan bersih. Penyu Karah memakan span, dan menghalang ia daripada melitupi terumbu karang. Justeru itu, penyu memainkan peranan penting dalam mengekalkan terumbu karang yang sihat dan kawasan rumput laut yang menyediakan kawasan pembiakan dan pengembangan ikan. Kawasan rumput laut yang sihat menyediakan habitat yang sesuai untuk ikan kecil dan juvana serta spesies marin yang lain."

“WWF-Malaysia menyeru orang ramai memainkan peranan yang signifikan dalam membantu untuk menghentikan perdagangan dan pemakanan telur penyu. Oleh itu, adalah amat penting untuk mendidik pelajar-pelajar tempatan mengenai kepentingan untuk melindungi penyu kerana sokongan generasi yang akan datang terhadap perjuangan ini akan memberi makna besar kepada usaha-usaha yang bertujuan untuk melindungi penyu,” kata Dr Henry.

Penganjuran dan perlaksanaan Terengganu Turtle Camp ini juga mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Justeru, seramai 40 orang pelajar bersama 10 orang guru pengiring daripada 10 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu menyertai kem ini.

- Tamat -

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:


Chin Ming Wei
Pegawai Komunikasi Program Marin, WWF-Malaysia,
Tel: +603-7450 3773
Email: cmingwei@wwf.org.my

Zuriana Ibrahim
Pegawai Korporat, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT)
Tel: 09-6174004 / 011-10602806
E-mel: zuera_2806@yahoo.com / zuriana@pskt.com.my 
Seramai 40 orang pelajar bersama 10 orang guru pengiring daripada 10 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu menyertai kem ini.
© WWF-Malaysia /Rahana Husin Enlarge
Pelajar-pelajar tersebut melawati Turtle Conservation & Information Centre di Rantau Abang.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge