Bila Kain Rentang Dijadikan Pakaian: “Trashion” uji kreativiti kitar semula sisa pepejal | WWF Malaysia

Bila Kain Rentang Dijadikan Pakaian: “Trashion” uji kreativiti kitar semula sisa pepejal



Posted on 25 November 2019
HKSK
Recyclerace
© WWF-Malaysia/Katrina Anne de Rozario
22 November 2019, Setiu – Siapa sangka, kain rentang majlis, jaring pembalut buah-buahan serta pelbagai lagi bahan-bahan yang sering dilupuskan begitu sahaja mampu diberi nafas baru dan digabungkan menjadi busana unik? Namun inilah yang berjaya dicipta oleh guru-guru tadika dari sekitar Taman Negeri Tanah Bencah Setiu dan digayakan oleh anak-anak didik mereka ketika sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) Peringkat Daerah Setiu.
 
Pertandingan “Trashion” Kreatif tersebut merupakan salah sebuah aktiviti dalam majlis yang dianjurkan oleh pihak WWF-Malaysia dengan kerjasama Majlis Daerah Setiu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom pada 19 November 2019. Menggabungkan fesyen dan sampah, ia diilhamkan oleh inisiatif ‘Recycle Runaway’ hasil anjuran pereka fesyen dan aktivis alam sekitar di bandar New York, Amerika Syarikat iaitu Nancy Judd. Peserta dalam pertandingan ini dikehendaki menghasilkan dan memperagakan pakaian berkonsepkan 3R dengan kreatif dan ia telah dimenangi oleh adik Nur Qisha Azra binti Zulkifli dari Tadika Kemas Rhu 10 (2). 

Sambutan HKSK ini mensasarkan pelbagai golongan hadirin termasuklah agensi kerajaan, kumpulan komuniti tempatan, pelajar sekolah rendah, menengah dan tadika serta mahasiswa. Antara pengisian program yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom adalah:
  1. Pertandingan ‘Recyclerace’
  2. Slot Inspirasi Alam
  3. Pameran oleh WWF-Malaysia, Malayan Rainforest Society, Politeknik Kuala Terengganu,  
  4. Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, dan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu.
Ketika menyampaikan ucapan aluan beliau, Ketua Konservasi Air Tawar bagi Program Konservasi Terestrial Semenanjung Malaysia iaitu Datin Daria Mathew telah berkongsi empat objektif utama yang ingin dicapai oleh WWF-Malaysia melalui program HKSK tersebut, iaitu:
  1. Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
  2. Meningkatkan rasa tanggungjawab mengenai keperluan pengurusan sisa buangan yang baik melalui usaha pengurangan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) dan pencemaran sisa pepejal lain di kawasan Tanah Bencah Setiu.
  3. Memberi pendidikan awal kepada pelajar dan penduduk setempat berkaitan pengasingan sisa buangan dan amalan kitar semula.
  4. Memupuk semangat kerjasama di kalangan semua pihak yang hadir ke arah usaha perlindungan dan pengurusan mampan Tanah Bencah Setiu.
WWF-Malaysia bukanlah nama yang asing di Setiu kerana ia merupakan organisasi yang giat menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan impak pencemaran sisa pepejal dan mendidik amalan kitar semula di kalangan masyarakat melalui pelbagai program yang dijalankan. Menurut Datin Daria, antara program anjuran WWF-Malaysia di Setiu ialah program tahunan ‘Plogging @ Setiu Wetlands: Walk and Care’ yang telah dijalankan bermula tahun 2018 di kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dan habitat kepada tuntung laut di Tanah Bencah Setiu. Usaha yang dijalankan oleh WWF-Malaysia ini dapat membantu dalam mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau seterusnya dapat mengurangkan kesan perubahan iklim.

Program HKSK yang berlangsung seawal jam 7.30 pagi sehingga 1.30 petang telah melibatkan seramai 294 peserta dari pelbagai peringkat umur. Pertandingan Recyclerace yang dibuka kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah merupakan aktiviti bertemakan pengurusan sisa pepejal bersepadu yang menguji tahap kecerdasan dan kecergasan peserta. Juara bagi kategori sekolah rendah ialah Sekolah Rendah Lembah Jaya manakala Sekolah Menengah Sains Setiu (1) merupakan johan bagi kategori sekolah menengah.
 
Tentang HKSK
Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) ini ditetapkan pada 11 November setiap tahun dengan inisiatif daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai landasan kepada masyarakat untuk memahami kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle). Selain itu, sambutan ini juga sebagai pemangkin pembudayaan amalan 3R yang merupakan langkah paling penting dan berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mampan.
 
Sambutan HKSK ini mengajak masyarakat Malaysia untuk menyedari ancaman dan bahaya pencemaran plastik. Melalui sambutan ini, seluruh masyarakat diseru agar bangkit membanteras pencemaran demi alam sekitar yang terpelihara dan kesihatan yang terjamin di masa hadapan. Sifat produk plastik yang mudah dihasilkan, murah dan penggunaannya yang tinggi telah memangkin penghasilan plastik terutamanya “plastik sekali guna” dalam kadar yang tinggi. Ketika ini hanya 9 peratus daripada 9 billion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia dikitar semula, manakala sebahagian besar yang lain tidak terurus secara lestari.
HKSK
Recyclerace
© WWF-Malaysia/Katrina Anne de Rozario Enlarge
HKSK
Penyelidik biologi WWF-Malaysia Cik Dhiya Shafiqah bersama para pelawat pameran.
© WWF-Malaysia/Katrina Anne de Rozario Enlarge
HKSK
YDP Majlis Daerah Setiu bersama wakil agensi dan peserta Trashion Kreatif.
© WWF-Malaysia/Dhiya Shafiqah Ridzuan Enlarge
HKSK
Johan Trashion Kreatif.
© WWF-Malaysia/Muhammad Syafuan Ismail Enlarge
HKSK
Johan Recyclerace SM Sains Setiu.
© WWF-Malaysia/Muhammad Syafuan Ismail Enlarge
HKSK
Hadirin.
© WWF-Malaysia/Dhiya Shafiqah Ridzuan Enlarge
HKSK
Seorang guru berkongsi inisiatif hijau sekolahnya dalam Slot Inspirasi Alam.
© WWF-Malaysia/Katrina Anne de Rozario Enlarge
HKSK
Datin Daria Mathew
© WWF-Malaysia/Leona Liman Enlarge