T-SWetC 2019 Memupuk Semangat Cintakan Tanah Bencah Setiu | WWF Malaysia

T-SWetC 2019 Memupuk Semangat Cintakan Tanah Bencah Setiu



Posted on 26 April 2019
Anak tuntung laut yang baru menetas.
© WWF-Malaysia / Muhammad Zaid Nasir
Setiu: WWF-Malaysia sekali lagi bergabung tenaga dengan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) untuk menganjurkan Kem Tanah Bencah Setiu (Terengganu’s Setiu Wetlands Camp, atau lebih dikenali sebagai T-SWetC).

Tanah Bencah Setiu, atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Setiu Wetlands, merangkumi pelbagai jenis habitat yang menyokong pelbagai spesies penting. Terdapat laguna, pantai berpasir, hutan paya laut dan sistem sungai Setiu-Chalok-Bari-Merang serta spesies yang bernilai pemuliharaan tinggi seperti tuntung laut (Batagur borneoensis), tuntung sungai (Batagur baska), dan penyu agar (Chelonia mydas). Hanya di Setiu, ketiga-tiga spesies terancam iaitu tuntung laut, tuntung sungai, dan penyu agar boleh ditemui di dalam satu
kawasan.

WWF-Malaysia telah menganjurkan program T-SWetC sejak 2010 sebanyak lapan kali untuk memupuk kesedaran melalui pendidikan tentang kepentingan dan keindahan Tanah Bencah Setiu. Melalui program sebegini, para pelajar boleh menerokai lebih lanjut bidang sains alam sekitar, di samping berkongsi ilmu pengetahuan, memupuk semangat setiakawan serta kerjasama dalam pemuliharaan alam sekitar.

Di samping berkerjasama erat dengan PSKT untuk T-SWetC 2019, kem ini turut disokong oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Selama tiga hari dua malam program T-SWetC dijalankan, 80 orang peserta dari 19 sekolah menengah di Terengganu telah mengenali dengan lebih dekat lagi pelbagai spesies hidupan liar di Tanah Bencah Setiu seperti tuntung laut dan kelip-kelip. Mereka juga didedahkan kepada tumbuhan tanah bencah seperti pokok bakau dan juga kerchut yang digunakan untuk menghasilkan kraftangan sebagai sumber pendapatan bagi komuniti tempatan.

“WWF-Malaysia amat menyokong usaha Kerajaan Negeri Terengganu untuk menguruskan Taman Negeri Setiu berpandukan pelan pengurusan yang efektif, lebih-lebih lagi kerana komuniti Tanah Bencah Setiu amat bergantung kepada Taman Negeri ini untuk memperoleh pelbagai manfaat,” ujar Puan Norizan Mohd Mazlan, Ketua Konservasi Semenanjung Malaysia bagi WWF-Malaysia, ketika menyampaikan kata-kata aluannya di majlis penutupan T-SWetC.

Tambahnya lagi, “Oleh itu, pihak WWF-Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran teknikal kepada pihak yang berwajib agar pelan pengurusan yang mampan untuk Tanah Bench Setiu dapat dirangka dan seterusnya dilaksanakan.”

“Dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan, bukan pihak kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua pihak perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ini,” kata Yang Berhormat Dr Haji Alias bin Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, ketika menyempurnakan majlis penutup T-SWetC. “Setiap individu perlu bersedia membuat sedikit perubahan kepada cara hidup seharian seperti mengitar semula, tidak menggunakan plastik sekali pakai dan mengamalkan pengomposan bahan buangan organik.”

WWF-Malaysia telah melakukan penyelidikan dan pemuliharaan alam sekitar bersama komuniti tempatan di Tanah Bencah Setiu sejak tahun 90-an lagi. Malah, pada tahun 1996, WWF-Malaysia telah mengusulkan kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu untuk mewartakan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri. Setelah 22 tahun cadangan ini pertama kali diusulkan, Tanah Bencah Setiu akhirnya dijadikan sebagai Taman Negeri yang pertama di negeri ini pada tahun 2018.

- Tamat - 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Leona Liman
Pengurus Komunikasi Air Tawar, Program Pemuliharaan Daratan Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia
No Telefon: +603-7450 3773 sambg. 6411
E-mel: LLiman@wwf.org.my

Zuriana Ibrahim
Pegawai Korporat, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu
No Telefon: +609-617 4004
E-mel: zuriana@pskt.com.my
Anak tuntung laut yang baru menetas.
© WWF-Malaysia / Muhammad Zaid Nasir Enlarge
Datin Daria Mathew, Ketua Pasukan Air Tawar WWF-Malaysia.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Mempelajari tentang tumbuhan kerchut dan kegunaannya.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Menyusuri Sungai Nyatoh untuk memerhati kelip-kelip.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Para pelajar dibahagikan kepada kumpulan yang dinamakan sempena hidupan dan tumbuhan Tanah Bencah Setiu.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Penerangan oleh penyelidik tuntung laut WWF-Malaysia Encik Muhammad Zaid Nasir.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
YB Dr Haji Alias (berkopiah) tiba untuk menyempurnakan Majlis Penutupan TSWetC.
© WWF-Malaysia / Leona Liman Enlarge
YB Dr Haji Alias turut melancarkan modul TSWetC yang terbaru.
© WWF-Malaysia / Leona Liman Enlarge