WWF-Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah Menumpu Perhatian kepada Kepentingan Memulihara Ulu Muda melalui Program ‘Journey of Water Sungai Muda’ | WWF Malaysia

WWF-Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah Menumpu Perhatian kepada Kepentingan Memulihara Ulu Muda melalui Program ‘Journey of Water Sungai Muda’



Posted on 17 April 2019
Our Water Heroes were able to witness the power of water as it was released from Beris Dam.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin
Sungai Petani: Kerajaan Negeri Kedah telah bekerjasama dengan Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) dalam menganjurkan sebuah program bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan tadahan air, terutamanya Kompleks Hutan Ulu Muda di Kedah.

Bermula pada 14 April, program ‘Journey of Water Sungai Muda’ berlangsung selama tiga hari. Peserta program – yang digelar sebagai Water Heroes – telah mengikuti perjalanan air dari hulu sungai, iaitu Hutan Simpan Ulu Muda, sehingga ke hilir iaitu di Baraj Ampang Jajar di Kota Kuala Muda.

Melalui program ini, Water Heroes yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, ahli akademik dan influencer media sosial, saling berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing sambil mengikuti aliran air Sungai Muda.

Program ini juga menekankan betapa pentingnya air dalam kehidupan seharian, termasuklah untuk sektor domestik, perindustrian dan pertanian, serta pelbagai cabaran yang dihadapi dalam pengurusan air secara mampan.

Sebagai hutan tadahan air yang membekalkan air kepada beberapa negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia, Ulu Muda adalah contoh yang terbaik untuk menunjukkan hubungkait di antara hutan dan bekalan air, kerana lebih daripada 4 juta pengguna air bergantung kepada sungai yang berpunca dari hutan ini.

Dengan kekurangan hujan dan gelombang panas yang melanda negeri Kedah baru-baru ini, adalah jelas bahawa kita mesti melindungi sumber semulajadi seperti Ulu Muda untuk memastikan bekalan air kita sentiasa terpelihara.

“Jika Ulu Muda tidak dilindungi, kita mungkin akan mengalami lebih banyak gangguan bekalan air pada masa hadapan,” berkata Zamri Yusuf, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga semasa majlis penutup ‘Journey of Water Sungai Muda’ di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM), Kota Kuala Muda.

Beliau menambah, “Dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, seperti wakil agensi kerajaan, pakar akademik, ahli komuniti dan influencer media sosial, kita dapat menyebarkan mesej kepada semua bahawa air adalah sumber alam semulajadi yang berharga dan tidak boleh diambil mudah.”

Norizan Mohd Mazlan, Ketua Pemuliharaan Terestrial Semenanjung Malaysia WWF-Malaysia juga menekankan: “Tanpa pengurusan sumber yang mampan bersandarkan undang-undang khusus, amat sukar bagi mana-mana pihak untuk kekal mempertahankan dan menjamin kelangsungan bekalan air Ulu Muda.

“Oleh itu, saya berharap agar semua agensi yang terlibat di dalam Journey of Water Sungai Muda menjadikan acara ini sebagai pemangkin kepada usaha konservasi Kompleks Hutan Ulu Muda. Semoga hubungan erat yang terjalin di antara kita akan membawa ke arah pewartaan Kompleks Hutan Ulu Muda sebagai sebuah taman negeri.”

Untuk maklumat lanjut, ikutilah perjalanan Water Heroes sepanjang ‘Journey of Water Sungai Muda’ melalui Facebook dan Instagram WWF-Malaysia (@wwfmy), serta hashtag #JourneyOfWaterMY.

- Tamat - 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Hanis Maketab
Pegawai Komunikasi (Kawasan Perlindungan Semenanjung Malaysia), WWF-Malaysia
Tel: +603 7450 3773
Email: hmaketab@wwf.org.my
Our Water Heroes were able to witness the power of water as it was released from Beris Dam.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Collecting samples for water quality testing at Sungai Legong, which flows in to Sungai Ketil, then Sungai Muda.
© WWF-Malaysia / Mukhriz Hazim Enlarge
Heading in to Ulu Muda Forest Reserve via boat through Muda Lake.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Wandering through the maze of filtration pools at the Sungai Petani Water Treatment Plant in Pinang Tunggal.
© WWF-Malaysia / Mukhriz Hazim Enlarge