40 Pelajar Raih Pengalaman Berharga dalam Konservasi Penyu | WWF Malaysia

40 Pelajar Raih Pengalaman Berharga dalam Konservasi Penyu



Posted on 10 August 2017
Seramai 40 orang pelajar daripada 10 buah sekolah menengah yang berlainan di Terengganu menyertai kem ini.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin
Kerteh: WWF-Malaysia dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) telah bekerjasama menjayakan Kem Penyu Terengganu daripada 8 hingga 10 Ogos 2017. Kem ini telah diadakan di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh yang mana bertujuan untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya untuk melindungi penyu yang terancam serta habitat mereka di kalangan pelajar tempatan dalam suasana yang ceria, dan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah.

Kem penyu selama tiga hari ini termasuk aktiviti seperti perlumbaan penyu, pelepasan anak penyu, meronda pantai, memperkenalkan Program Sekolah-Eko oleh WWF-Malaysia, perkongsian pengalaman dalam konservasi penyu oleh Persatuan Khazanah Rakyat Ma'Daerah (MEKAR) dan Persatuan Pencinta Alam.

Kemuncak kem ini adalah apabila pelajar berjalan menyusuri pantai dan terlibat dalam aktiviti konservasi seperti meronda di kawasan pantai penyu bertelur dan melepaskan anak penyu yang baru tetas ke laut. Para pelajar mendapat pengalaman untuk bertindak seperti aktivitis pemuliharaan ataupun peronda sukarelawan pada waktu malam mencari telur penyu, di mana ianya dikumpul dan dipindahkan ke tapak penetasan. Satu lagi aktiviti popular adalah perlumbaan penyu di mana para peserta dalam kumpulan bertanding dalam stesen permainan yang bertujuan untuk membangunkan sifat kepimpinan dan kerja berpasukan. Selain itu, program kembara hutan dianjurkan untuk peserta berjalan selama tiga jam meredah Bukit Labohan yang memiliki pelbagai jenis flora dan fauna.

Menurut Pegawai Kanan Pemuliharaan Marin WWF-Malaysia, Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa, “Penyu memainkan peranan penting dalam mengekalkan terumbu karang yang sihat dan kawasan rumput laut yang menyediakan kawasan pembiakan dan pembangunan ikan, justeru mereka mempengaruhi hidup manusia dalam jangka masa panjang. Kawasan rumput laut yang sihat menyediakan habitat yang sesuai untuk ikan kecil dan juvana serta spesies marin yang lain. Penyu agar meragut rumput laut, dan membantu untuk mengekalkan rumput yang tumbuh di seluruh dasar laut dengan memastikan bilah rumput tidak terlalu panjang. Penyu Karah makan span, dan menghalang ia daripada melitupi terumbu karang."

“Mesej utama kem penyu ini adalah untuk mendidik pelajar-pelajar tempatan bahawa penyu bukan sahaja warisan semula jadi dan ikon untuk negeri Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin. Orang ramai memainkan peranan yang signifikan dalam membantu untuk menghentikan perdagangan dan pemakanan telur penyu. Oleh itu, adalah amat penting untuk mendidik generasi akan datang mengenai kepentingan untuk melindungi penyu kerana sokongan mereka terhadap perjuangan ini akan memberi makna besar kepada usaha-usaha yang bertujuan untuk melindungi penyu,” kata Sharifah.

Seramai 40 orang pelajar daripada 10 buah sekolah menengah yang berlainan di Terengganu menyertai kem ini. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK Permaisuri Nur Zahirah (Besut), SMK Lembah Bidong (Setiu), SMKT Kuala Terengganu (Kuala Nerus), SMK Sultan Mansur (Kuala Terengganu), SMK Merchang, SMK Seri Berang (Hulu terengganu), SMK Pulau Serai (Dungun), SMKA Kuala Abang (Dungun), SMK Kerteh (Kemaman) dan SMK Sultan Ismail (Kemaman)

- Tamat -

Keterangan lanjut:


Chin Ming Wei
Communications and Campaigns Officer, Marine Programme, WWF-Malaysia,
Tel: +603-7450 3773
Email: cmingwei@wwf.org.my

Zuriana Ibrahim
Pegawai Korporat, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT)
Tel: 09-6174004 / 011-10602806
E-mel: zuera_2806@yahoo.comzuriana@pskt.com.my  
Seramai 40 orang pelajar daripada 10 buah sekolah menengah yang berlainan di Terengganu menyertai kem ini.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Pelajar-pelajar melawat tapak penetasan penyu dan seorang renjer memberi taklimat mengenai cara pengendalian telur penyu di Ma'Daerah.
© WWF-Malaysia / Chin Ming Wei Enlarge
Para pelajar melawat ke Turtle Info Centre (TIC) dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Rantau Abang.
© WWF-Malaysia / Chin Ming Wei Enlarge
Majlis penutupan Kem Penyu Terengganu 2017 disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Ir. Rosli Bin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge