Utamakan Kepentingan Penyu Di Pulau Upeh Untuk Manfaat Bersama – WWF-Malaysia | WWF Malaysia

Utamakan Kepentingan Penyu Di Pulau Upeh Untuk Manfaat Bersama – WWF-Malaysia



Posted on 17 June 2013
Hawksbill turtle
© WWF-Malaysia/ Eric madeja
14 June 2013, Petaling Jaya: WWF-Malaysia (Tabung Alam Malaysia) menyambut baik pengiktirafan yang diberi oleh Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan Melaka, Datuk Ghazale Mohamad, terhadap Pulau Upeh sebagai pusat pendaratan penyu karah yang penting di Melaka sepertimana yang dilaporkan dalam artikel Sinar Harian, ‘Tiga Pulau Jadi Aset Berharga’ pada 11 Jun 2013.

Menurut Datuk Ghazale, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menjayakan usaha pembangunan di Pulau Upeh. Sehubungan itu, WWF-Malaysia berharap bahawa kerajaan negeri akan mengutamakan keperluan ekologi penyu dan tidak akan menjejaskan habitat hidupan laut tersebut dalam sebarang bentuk rancangan yang dijalankan di Pulau Upeh.
Sebagaimana yang disebut oleh Datuk Ghazale, Pulau Upeh merupakan lokasi penting mendarat dan bertelur penyu karah (Eretmochelys imbricata), iaitu spesies yang sangat terancam. Pulau Upeh menempatkan kira-kira 20% daripada jumlah pendaratan penyu di Melaka dan negeri itu mempunyai populasi penyu karah terbesar di Semenanjung Malaysia, kedua tertinggi selepas populasi Kepulauan Penyu di Sabah.

Justeru itu, WWF-Malaysia menyarankan supaya sebarang pembangunan serta aktiviti di Pulau Upeh adalah berteraskan ekopelancongan yang berimpak rendah. Ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan dari industri pelancongan kepada kerajaan negeri, malah dapat memastikan kelangsungan populasi penyu karah yang merupakan warisan semulajadi bagi negeri Melaka. WWF-Malaysia senantiasa sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi yang berkaitan dalam usaha pemuliharaan penyu karah dan perlindungan habitat pendaratan penyu utama seperti Pulau Upeh, Kem Terendak, Balik Batu, Padang Kemunting, Pasir Gembur dan Tanjung Dahan Meriam Patah dan Tanjung Serai.


Dato’ Dr Dionysius Sharma
Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif
WWF-Malaysia


- Tamat -

Mengenai WWF-Malaysia
WWF-Malaysia atau Tabung Alam Malaysia ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1972. Kini ia melaksanakan lebih daripada 90 projek yang merangkumi pelbagai jenis kerja pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, daripada menyelamatkan spesies terancam seperti harimau dan penyu, kepada perlindungan hutan, sungai dan lautan. Tabung pemuliharaan nasional ini juga menjalankan program-program pendidikan alam sekitar dan kerja-kerja sokongan bagi mencapai matlamat pemuliharaan. Misi WWF adalah menghentikan degradasi alam semulajadi bumi dan membina masa hadapan di mana manusia hidup harmoni dengan alam melalui pemuliharaan kepelbagaian biologi negara, memastikan penggunaan lestari sumber asli yang boleh diperbaharui, serta mempromosikan pengurangan pencemaran dan penggunaan yang tidak terkawal. Untuk berita terkini dan bahan-bahan media, layarilah http://www.wwf.org.my/media_and_information/media_centre/


Untuk maklumat lanjut:
Nadiah Rosli, Pegawai Komunikasi, Program Marin Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia
Tel: +603-78033772 samb. 6433, Emel: nrosli@wwf.org.my

Yeoh Lin Lin, Ketua Komunikasi, WWF-Malaysia
Tel: +603-78033772, Emel: llyeoh@wwf.org.my

 
Hawksbill turtle
© WWF-Malaysia/ Eric madeja Enlarge