WWF: Panda CLICK! Beri Peluang Kepada Masyarakat Kapit Kongsi Cerita Menerusi Gambar | WWF Malaysia

WWF: Panda CLICK! Beri Peluang Kepada Masyarakat Kapit Kongsi Cerita Menerusi Gambar



Posted on 14 May 2019
Jurugambar terbaik di WWF-Malaysia Panda CLICK.
© WWF-Malaysia
,Kapit, SARAWAK – Segelintir masyarakat Song dan Baleh kini berpeluang untuk berkongsi cerita mereka menerusi gambar setelah berjaya menamatkan latihan fotografi Panda CLICK!.
 
Panda CLICK! merupakan sebuah kaedah komunikasi visual untuk mendokumentasi hal yang berkaitan dengan masyarakat dan alam persekitaran mereka. Kaedah ini telah digunakan secara meluas di Indonesia untuk mengalakkan perubahan positif dalam kalangan masyarakat luar bandar.
 
Perkataan Panda, adalah sinonim dengan Tabung Alam Sedunia (WWF) yang menggunakan Panda sebagai logo, manakala CLICK! ialah akronim kepada Communication Learning Towards Innovative Change (Pembelajaran Komunikasi Ke Arah Perubahan Innovatif).
 
Panda CLICK! anjuran WWF-Malaysia merupakan kaedah baharu untuk mengalakkan masyarakat Kapit untuk lebih menghargai alam sekitar dan budaya mereka. Dijalankan serentak dengan WWF-Indonesia di Kalimantan Barat, program antara sempadan ini disokong oleh Projek Inisiatif Iklim Antarabangsa dalam Jantung Borneo.
 
Program yang dijalankan selama hampir 10 bulan ini, menyaksikan seramai 19 peserta menghasilkan sekitar 20,000 keping gambar yang bertemakan alam sekitar, pengetahuan tradisional, aktiviti seharian, adat dan budaya serta infrastruktur di kawasan setempat. Para peserta juga dilatih untuk bercerita di khalayak ramai berpandukan gambar yang mereka ambil.
 
Satu majlis penutupan telah diadakan di Kompleks Kerajaan Negeri Kapit untuk menghargai kesungguhan para peserta yang telah mengambil gambar secara sukarela. Dua orang peserta, Encik Peter anak Jabat dan Puan Usik anak Reba, telah dianugerahi gelaran Jurugambar Terbaik, masing-masing untuk kategori lelaki dan wanita.
 
Pegawai Daerah Bukit Mabong, Encik Douglas Pungga, yang telah merasmikan majlis tersebut mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana gambar yang dihasilkan adalah setanding dengan gambar jurugambar professional.
 
Beliau menambah, “Program yang anda lakukan sekarang, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh. Program yang anda sertai ini membawa kebaikkan kepada anda dan kawasan anda kerana program ini berkaitan dengan perihal pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.”
 
Wakil peserta Panda CLICK!, Peter  yang juga merupakan ketua kampung untuk Rumah Peter di Ulu Katibas, pula berharap agar program ini dapat diteruskan supaya lebih ramai orang dapat menghargai alam sekitar, terutamanya di Sarawak.
 
“Saya juga berharap agar mereka yang telah mengikuti aktiviti Panda CLICK! ini terus bersama menjaga alam sekitar kita agar hutan dan hidupan liar kita terlindung. Jika kita tidak menjaganya (alam sekitar) sekarang, maka pupuslah hidupan liar kita,” tambah Peter.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Song, Puan Jackline August.
 
Koleksi gambar yang diambil akan dijadikan sebuah buku dan juga dipamerkan  dalam satu pameran fotografi akan diadakan di Kalimantan Barat dan Kuching tahun ini.
 
- Tamat -
  
Mengenai WWF-Malaysia
WWF-Malaysia atau Tabung Alam Malaysia ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1972. Kini ia melaksanakan lebih daripada 90 projek yang merangkumi pelbagai jenis kerja pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, daripada menyelamatkan spesies terancam seperti harimau dan penyu, kepada perlindungan hutan, sungai dan lautan. Tabung pemuliharaan nasional ini juga menjalankan program-program pendidikan alam sekitar dan kerja-kerja sokongan bagi mencapai matlamat  pemuliharaan. Misi WWF adalah menghentikan degradasi alam semulajadi bumi dan membina masa hadapan di mana manusia hidup harmoni dengan alam melalui pemuliharaan kepelbagaian biologi negara, memastikan penggunaan lestari sumber asli yang boleh diperbaharui, serta mempromosikan pengurangan  pencemaran dan penggunaan yang tidak terkawal. Untuk berita terkini dan bahan-bahan media, layarilah http://www.wwf.org.my/media_and_information/media_centre/
 
Mengenai Ekonomi Hijau dalam Heart of Borneo
Ekonomi Hijau dalam Heart of Borneo merupakan sebuah projek yang merangkumi kawasan seluas dua juta hektar, dari bahagian utara Kalimantan Barat sehinga ke bahagian tengah Sarawak.  Kawasan ini telah dikenal pasti untuk projek Koridor Antara Sempadan HoB dan disokong oleh Inisiatif Iklim Antarabangsa, Kementerian Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Bangunan dan Keselamatan Nuklear dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan Jerman. Projek ini bertujuan untuk membangunkan konsep pengurusan ekonomi hijau yang mempromosikan penggunaan dan pengeluaran hasil sumber alam sekitar yang mesra alam dalam Koridor Antara Sempadan HoB Kalimantan Barat dan Sarawak.
  
Untuk maklumat lanjut:
Amanda Nayra, Pegawai Komunikasi, WWF-Malaysia (Pejabat Sarawak)    
Tel: +6082 247420 Ext. 227              Email: ajengging@wwf.org.my
Jurugambar terbaik di WWF-Malaysia Panda CLICK.
© WWF-Malaysia Enlarge
Gambar WWF-Malaysia Panda CLICK dari Claudiak Mutek.
© WWF-Malaysia Enlarge
Gambar WWF-Malaysia Panda CLICK dari Peter Jabat
© WWF-Malaysia Enlarge
Gambar WWF-Malaysia Panda CLICK dari Usikak Reba
© WWF-Malaysia Enlarge