Rakyat Malaysia terinspirasi untuk #Connect2Earth dan memulihara biodiversiti melalui Earth Hour 2019 | WWF Malaysia

Rakyat Malaysia terinspirasi untuk #Connect2Earth dan memulihara biodiversiti melalui Earth Hour 2019



Posted on 30 March 2019
Para sukarelawan bergambar di depan bangunan-bangunan ikonik di Alor Setar sempena Earth Hour 2019.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin
Alor Setar: Earth Hour, suatu gerakan akar umbi terbesar dunia bagi alam sekitar, sekali lagi menyatukan jutaan manusia di seluruh dunia untuk menunjukkan komitmen terhadap pemuliharaan planet Bumi. Pada ketika biodiversiti global merosot pada kadar yang sangat tinggi, ditambah dengan cabaran perubahan iklim yang akibatnya semakin dirasai, Earth Hour 2019 mengambil usaha dan pendekatan setempat untuk menghentikan kehilangan biodiversiti Malaysia dengan melindungi bekalan air tawar di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Pada Earth Hour kali ini, WWF-Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar telah menganjurkan dengan julung kalinya, Earth Hour Night Run di Aman Central, Alor Setar, Kedah. WWF-Malaysia juga telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Gurney Paragon Mall dalam penganjuran Acara Zumba dan Night Yoga di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang. Kedua-dua acara mendapat sambutan hebat para peserta yang menyokong penuh usaha melindungi Kompleks Hutan Ulu Muda, yang merupakan sumber air yang penting bagi 96 peratus penduduk Kedah, 80 peratus penduduk Pulau Pinang dan 40 peratus penduduk Perlis.

Pada acara Earth Hour Night Run di Kedah, YAB Dato' Seri Hj. Mukhriz bin Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman, berkata, “Pada tahun lepas, kerajaan negeri Kedah telah memutuskan untuk menghentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda. Kami yakin bahawa ini adalah keputusan tepat, kerana Ulu Muda merupakan hutan tadahan air yang terpenting bukan sahaja untuk negeri Kedah tetapi juga untuk negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.”

“Sudah tiba masanya untuk beralih pergantungan kita daripada pembalakan di dalam kawasan tadahan air seperti Ulu Muda kepada aktiviti-aktiviti ekonomi lain yang boleh meningkatkan daya sosioekonomi rakyat sambil memastikan keperluan asas kita daripada alam semulajadi berlangsungan.  Dengan kerjasama yang dipupuk dengan organisasi seperti WWF dalam mencari cara yang lebih lestari untuk menjana pendapatan, kami berharap Kedah akan menjadi contoh yang baik kepada negeri-negeri lain,” kata YAB Dato' Seri Hj. Mukhriz bin Tun Dr Mahathir lagi.

“Sekali lagi, semua rakyat bersatu menerusi Earth Hour,” kata Sophia Lim, Pengarah Eksekutif/CEO WWF-Malaysia. “Alam semulajadi amat penting dalam kehidupan seharian setiap individu; ia adalah tonggak kemakmuran dan pembangunan ekonomi serta kehidupan kita sendiri – namun kita menggunakan sumber alam dengan lebih pantas berbanding kemampuan Bumi untuk memperbaharui sumber-sumber tersebut. Semangat orang ramai dalam menyertai acara-acara Earth Hour bagi mengumpul dana untuk pemuliharaan biodiversiti amat memberangsangkan, namun usaha-usaha ini perlu dipertingkat lagi. Kita harus menggerakkan satu komitmen global ke arah menghentikan dan membalikkan kerosakan alam semulajadi dengan suatu Perjanjian Baharu bagi Alam Sekitar dan Manusia.”

Masa semakin suntuk. Tahun-tahun terdekat  amat kritikal ke arah masa depan yang lebih baik untuk planet kita. Tahun 2020 bakal menjadi detik bersejarah apabila beberapa konvensyen antarabangsa menjadi tumpuan dan keputusan-keputusan penting bakal dibuat dalam isu tindakan iklim, pembangunan dan alam sekitar. Suara jutaan manusia yang bersatu diperlukan untuk mendorong para pembuat keputusan dalam memastikan isu pemuliharaan alam menjadi agenda utama perbincangan mereka.

WWF-Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar atas sokongan padu mereka dalam menjayakan Earth Hour Night Run yang julung kali diadakan. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja korporat kami: Celcom, Samsonite, Salesworks dan SG Global Support Services, juga rakan usaha sama Aman Central, Alor Setar LM Bikers Club dan Happy Star Entertainment Production Sdn Bhd.

Para peserta yang berdaftar telah mendapat sehelai kemeja T kapas WWF dan sebuah beg tali cerut kanvas. Semua bayaran pendaftaran akan disalurkan kepada usaha-usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh WWF-Malaysia.

Menurut kajian terkini WWF hadir di 10 negara yang mempunyai biodiversiti tertingggi di dunia, dan hanya 40 peratus rakyat mengaitkan manfaat alam sekitar dengan keperluan-keperluan utama kehidupan seperti makanan, air dan udara segar. Dalam memupuk nilai-nilai murni tentang kepentingan memulihara biodiversiti dan alam kepada masyarakat, WWF telah bekerjasama dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Kepelbagaian Biologi dalam membangunkan connect2earth.org, satu platform yang membolehkan perkongsian idea dan pendekatan untuk menggalakkan tindakan dan perubahan yang positif dalam pemuliharaan alam sekitar.

Layari www.earthhour.org untuk mengetahui apa yang berlaku di lokasi-lokasi serata dunia dan membaca kisah-kisah individu tentang tindakan yang telah diambil untuk planet kita. Inilah masa kita bagi menjamin sebuah masa depan yang sihat, lestari dan berdaya tahan iklim untuk semua.

- Tamat - 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Sheena Wong
Pegawai Komunikasi Kanan, WWF-Malaysia
Tel: +603 7450 3773 Samb. 6412
Email: sywong@wwf.org.my
Para sukarelawan bergambar di depan bangunan-bangunan ikonik di Alor Setar sempena Earth Hour 2019.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Para sukarelawan bergambar di depan bangunan-bangunan ikonik di Alor Setar sempena Earth Hour 2019.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Peserta memberikan sokongan kepada usaha melindungi sumber air dan inisiatif Earth Hour 2019.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
“Semangat orang ramai dalam menyertai acara-acara Earth Hour bagi mengumpul dana untuk pemuliharaan biodiversiti amat memberangsangkan,” kata Sophia Lim, Pengarah Eksekutif/CEO WWF-Malaysia.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Norizan Mohd Mazlan, Ketua Pemuliharaan Semenanjung Malaysia bagi WWF-Malaysia mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar dan penaja-penaja korporat atas sokongan mereka untuk menjayakan acara Earth Hour pada tahun ini.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
YAB Dato' Seri Hj. Mukhriz bin Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman mengurai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah untuk membimbing rakyatnya supaya mengamalkan gaya hidup mesra alam.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
(Dari kiri) Norizan binti Mohd Mazlan, Ketua Pemuliharaan Semenanjung Malaysia bagi WWF-Malaysia; YB Encik Ooi Tze Min, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; YB Encik Tan Kok Yew, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri, Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan; YAB Tok Puan Norzieta Zakaria; Chi Chi, maskot WWF; YAB Dato' Seri Haji Mukhriz bin Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman; YB Dato' Ammar bin Dato' Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; YB Dato' Haji Mohd Zohdi bin Haji Saad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar; dan Sophia Lim, Pengarah Eksekutif/CEO WWF-Malaysia.
© WWF-Malaysia / Rahana Husin Enlarge
Para peserta acara Zumba sempena Earth Hour 2019 di Kedah.
© WWF-Malaysia / Anthony Teoh Enlarge