Galeri Mini Penyu dan Tuntung Laut Pertama Di Setiu Sebagai Pusat Informasi Dan Tarikan Ekopelancongan | WWF Malaysia

Galeri Mini Penyu dan Tuntung Laut Pertama Di Setiu Sebagai Pusat Informasi Dan Tarikan Ekopelancongan



Posted on 18 March 2013
Entrance to the Mini Gallery at Penarik Inn Beach Chalet, Setiu, Terengganu.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli
17 Mac 2013, Setiu (Terengganu): Bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara khazanah alam yang semakin diancam kepupusan di daerah Setiu, sebuah Galeri Mini Penyu dan Tuntung Laut telah dilancarkan hari ini oleh WWF-Malaysia bersama Hijau Group di Penarik Inn Beach Chalet, Penarik, Setiu.

Galeri Mini tersebut, yang merupakan usaha Penarik Inn dengan sokongan dan bantuan teknikal daripada WWF-Malaysia, telah diwujudkan sebagai pusat informasi yang menyediakan maklumat menarik tentang penyu dan tuntung laut kepada pelawat yang diharapkan akan mendorong orang ramai untuk melindungi kedua-dua spesies ini.

Majlis pelancaran ini juga bertujuan untuk mempromosikan Galeri Mini tersebut sebagai satu lagi produk dan daya tarikan ekopelancongan berimpak rendah di Tanah Lembap Setiu.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Dato’ Dr. Dionysius Sharma, berkata bagi usaha-usaha pemuliharaan yang sedang dilaksanakan oleh organisasi seperti WWF-Malaysia untuk mencapai impak yang lebih menyeluruh, masyarakat tempatan hendaklah didedahkan dengan pengetahuan dan kesedaran yang secukupnya.

“Penglibatan masyarakat adalah kunci kejayaan dalam memperjuangkan kelestarian spesies-spesies ini. Setelah bertungkus-lumus selama hampir enam bulan bermula Ogos 2012, akhirnya hasrat untuk mewujudkan sebuah pusat informasi penyu dan tuntung laut di Daerah Setiu terlaksana dan kini dibuka kepada orang ramai,” kata Dato’ Dr. Dionysius.

Menurut beliau, segala reka bentuk dan persiapan mini galeri ini telah dihasilkan dengan kerjasama empat orang pelajar jurusan Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara Malaysia (Kampus Melaka). Yang menarik ialah hampir 90 peratus bahan yang digunakan untuk Galeri Mini ini adalah daripada bahan terbuang yang dikitar semula.

Galeri Mini ini turut menyediakan peluang untuk membangunkan industri ekopelancongan di Tanah Lembap Setiu yang menjadi persinggahan kepada pengunjung yang ingin ke pulau-pulau berdekatan seperti Perhentian, Redang dan Lang Tengah.

Tanah Lembap Setiu bukan sahaja menyokong populasi tuntung laut (Batagur borneoensis) yang terbesar di Malaysia, ia juga adalah antara kawasan penting di tanah besar Semenanjung Malaysia bagi penyu agar (Chelonia mydas) mendarat dan bertelur. Tuntung laut adalah spesies yang telah dikategorikan sebagai sangat terancam manakala penyu agar sebagai spesies terancam di bawah Senarai Merah IUCN 2011.

Penarik Inn Beach Chalet, di mana galeri mini ini ditempatkan, ialah sebuah chalet di Kampung Penarik yang telah beroperasi sejak tahun 1992. Pada tahun 2010, Penarik Inn telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan WWF-Malaysia untuk membenarkan pusat penetasan penyu dan tuntung laut didirikan berhampiran premis mereka di pantai Penarik bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pemuliharaan penyu dan tuntung Laut di daerah Setiu.

Disamping itu, majlis pelancaran ini juga diadakan untuk memberikan penghargaan kepada pertubuhan, agensi serta individu yang telah banyak memberikan bantuan, sokongan dan kerjasama kepada WWF-Malaysia dalam menjalankan projek pemuliharaan alam sekitar di Daerah Setiu.

Aktiviti-aktiviti pemuliharaan penyu dan tuntung laut oleh WWF-Malaysia di Setiu telah pun bermula sejak tahun 1995 lagi. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah kajian saintifik, pemantauan pantai, perlindungan telur, pembinaan pusat penetasan (hatcheri) serta kempen-kempen kesedaran bersama penduduk tempatan.

- Tamat-

Mengenai WWF-Malaysia
WWF-Malaysia atau Tabung Alam Malaysia ialah sebuah badan amanah kebangsaan berteraskan pemuliharaan alam sekitar, kini sedang melaksanakan lebih daripada 90 projek yang merangkumi pelbagai jenis kerja perlindungan alam sekitar. Sejak 1972, WWF-Malaysia telah menjalankan projek-projek konservasi penting, daripada menyelamatkan spesies terancam seperti harimau dan penyu, kepada perlindungan hutan, sungai dan lautan. WWF-Malaysia juga menjalankan program-program pendidikan alam sekitar dan kerja-kerja perundangan bagi mencapai matlamat pemuliharaan dengan kerjasama masyarakat. Dengan pemuliharaan sumber semulajadi, WWF-Malaysia dapat melindungi mata pencarian, dan juga sumber makanan dan bekalan air, bagi mengekalkan kualiti hidup yang baik jesteru masa hadapan yang cerah bagi generasi akan datang. Kami amat berterima kasih kepada penyokong kami serta pihak media untuk sokongan mereka yang membolehkan WWF-Malaysia meneruskan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

Jika anda ingin menyumbang kepada WWF-Malaysia atau untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai projek kami, sila hubungi: +603-78033772 atau layari: wwf.org.my atau www.facebook.com/wwfmy .


Misi WWF
Misi WWF adalah untuk menghentikan degradasi alam semulajadi bumi dan membina masa hadapan di mana manusia hidup harmoni dengan alam melalui:
• Pemuliharaan kepelbagaian biologi dunia
• Memastikan penggunaan lestari sumber asli yang boleh diperbaharui
• Mempromosi pengurangan kadar pencemaran dan pembaziran dalam pengeluaran

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Yeoh Lin Lin, Ketua Komunikasi, WWF-Malaysia
Tel: +603-78033772 ext 6400, Emel: llyeoh@wwf.org.my

Nadiah Rosli, Pegawai Komunikasi (Program Marin Semenanjung Malaysia), WWF-Malaysia
Tel: +603-78033772 ext 6433, Emel: nrosli@wwf.org.my
Entrance to the Mini Gallery at Penarik Inn Beach Chalet, Setiu, Terengganu.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli Enlarge
Director of Department of Fisheries Terengganu, Abdul Khalil bin Abdul Karim offiicated the launch of the Turtle and Painted Terrapin Mini Gallery in Setiu.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli Enlarge
One of the exhibits at the gallery which display the threats to turtles and painted terrapins including accidentally caught in fishing gear and being hit boat propellers.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli Enlarge
Guests were given a tour and briefing of the Mini Gallery by WWF-Malaysia's Senior Field Biologist, Nurolhuda Nasir. The establishment of the gallery received support and technical assitance from WWF-Malaysia which has been carrying out research and conservation on turtles and painted terrapins in Setiu since 1995.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli Enlarge
Students from Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu entertained guests at the launching ceremony.
© WWF - Malaysia/Nadiah Rosli Enlarge